Home Politik Kumutha tidak janggal jadi calon Pas di Johor Jaya

Kumutha tidak janggal jadi calon Pas di Johor Jaya

R. Kumutha
Calon PAS N.42 Johor Jaya, R. Kumutha HAZROL ZAINAL, 01 MEI 2018.

PASIR GUDANG – Calon Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, R. Kumutha tidak merasa janggal menjadi calon parti itu meskipun beliau merupakan seorang yang beragama Hindu.

Menurut beliau, walaupun Pas dibayangi dengan nama parti Islam namun, ia beranggapan parti itu sama seperti parti politik lain yang disertai oleh masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Katanya, dengan menyertai parti itu beliau mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengajak masyarakat kaum India di DUN Johor Jaya supaya memilih Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

“Ramai masyarakat India yang saya temui masih belum faham dengan perjuangan Pas ini.

“Apabila saya bertemu dengan mereka, ramai yang bertanya kenapa saya menyertai Pas. Malah, ada juga yang menanyakan memberi undi kepada Pas ini akan menyokong pelaksanaan hukum hudud.

“Mereka bimbang kalau-kalau Pas menang nanti maka hukum potong akan dilaksanakan,” katanya kepada MalaysiaGazzete ketika ditemui.

Kumutha berkata, acap kali beliau menerangkan kepada kaum India bahawa pelaksanaan hukum itu jika Pas menjadi pemerintah hanya akan dilaksanakan kepada masyarakat Islam dan tidak melibatkan kaum dari agama lain.

Malah, beliau turut memperjelaskan kepada masyarakat India bahawa hudud dilaksanakan untuk memberi kesejahteraan di dalam kehidupan dan hanya mereka yang benar-benar bersalah sahaja akan dikenakan hukuman itu.

“Hukuman itu juga jika dilaksanakan nanti ada syarat-syarat tertentu dan bukan boleh dilaksanakan sebarangan sahaja.

“Dalam hal ini juga saya menjelaskan kepada mereka bahawa kebaikan melaksanakan hudud akan dapat mengurangkan berlakunya kes jenayah yang sekarang ini sangat membimbangkan,” ujarnya.

Ketika ditanya langkahnya memilih untuk menyertai Pas, Kumutha menegaskan beliau yakin hanya parti itu sahaja yang mampu membawa keharmonian kepada masyarakat sejagat berbanding parti-parti lain.

Pada PRU14 ini, kerusi DUN N.42 Johor Jaya bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Tiga parti politik mempertaruhkan calon-calonnya iaitu Barisan Nasional (BN) meletakkan calon Datuk Tan Cher Puk manakala DAP yang bertanding atas tiket PKR meletakkan calon yang merupakan penyandang kerusi DUN berkenaan, Liow Cai Tung.

Pada PRU13 lalu, Cai Tung memperoleh undi majoriti sebanyak 1,460 undi menewaskan calon lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast