KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Gua Musang, Datuk Nozula Mat Diah mungkin boleh dinobatkan sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) paling lama berkhidmat di kawasan itu.
Beliau yang memenangi kerusi DUN itu sejak Pilihan Raya Umum kelapan tahun 1990, yakin kerusi berkenaan dapat dipertahankan oleh calon baharu yang menggantikan tempatnya, Amran Ariffin pada PRU14, 9 Mei ini.
Justeru, dalam keadaan kesihatan yang sedikit terbatas akibat diserang angin ahmar, beliau berjanji akan turun padang berkempen membantu Amran bagi memastikan DUN Paloh kekal ditadbir oleh wakil rakyat BN.
Dalam ceramahnya di kawasan Paloh malam tadi, Nozula yang pernah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Simpan Pulai-Cameron Highlands menyebabkan isterinya, Datin Maziah Din meninggal dunia pada 17 April 2014, mahu rakyat kawasan itu memberi undi kemenangan kepada Amran.
“Ini anakanda saya. Dia akan menggantikan tempat saya di DUN Paloh. Berilah kemenangan kepadanya,” katanya yang membahasakan Amran sebagai anakanda.
Nozula memenangi kerusi DUN Paloh pada PRU13 dengan majoriti 3,937 undi apabila mendapat 7,847 undi, manakala pencabarnya, Amran Ab. Ghani dari PKR memperoleh 3,910 undi.
Nozula memenangi kerusi itu pada PRU-8 atas tiket Parti Melayu Semangat 46 (S46) melawan calon BN, Datuk Ariffin Said dengan majoriti 5,671 undi. Dalam pertandingan yang menyaksikan BN melawan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) itu, beliau mendapat 8,408 undi, manakala Ariffin mendapat 2,737 undi.
Pada PRU kesembilan tahun 1995, beliau sekali lagi bertanding atas tiket S46, menang dengan majoriti 3,251 undi, mengalahkan lawannya, Mohd Akram Khan Awang Shaikh dari BN (2,171 undi) dan calon AKIM, Mohamad Yusof (79 undi).
Setelah S46 dibubar, beliau bersama ketuanya, Tengku Razaleigh Hamzah kembali kepada UMNO dan dipilih mewakili BN untuk bertanding PRU10 tahun 1999 melawan calon Parti Keadilan Rakyat, Nik Abdul Aziz Nik Hassan. Beliau menang dengan 4,984 undi, manakala Nik Abdul Aziz mendapat 3,350 undi.
Dalam pilihan raya umum ke-11 tahun 2004, beliau mengekalkan tradisi kemenangan atas tiket BN melawan calon PKR, Norazman Mat Amin dengan perolehan undi sebanyak 5,244 dan lawannya hanya mendapat 2,364 undi.
Nozula turut menang dalam PRU12 tahun 2008 mengalahkan calon PKR, Reizal Abdul Rahim dengan majoriti 2,833 undi. Beliau memperoleh 5,697 undi, lawannya Reizal mendapat 2,864 undi. – MalaysiaGazette