BANTINGĀ – “Sesiapa pangkah Parti Keadilan Rakyat, maknanya dia pangkah DAP dan Lim Kit Siang untuk jadi Perdana Menteri,” ujar Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Menurutnya, pembangkang menggunakan satu logo dan satu simbol bukan mahu menaikkan orang Melayu dan Islam sebaliknya ia hanya taktik untuk mengangkat keluarga Kit Siang menjadi pentadbir negara.
“Bukan kita pangkah PKR itu nak naikkan Wan Azizah, bukan nak naikkan Tun M (sebaliknya) Tun M dipergunakan oleh mereka terutamanya DAP.
“Muka sahaja orang Melayu dan Islam tapi sebenarnya kalau mereka menang, yang akan mentadbir dan menjadi Perdana Menteri adalah Kit Siang dan anak beliau Guan Eng.
“Saya anak kelahiran Pulau Pinang, saya tahu sangat perangai DAP, jangan sesekali kita gadaikan masa hadapan kita, anak cucu kita, negara kita kepada DAP dan Lim Kit Siang,” katanya berucap pada Majlis Bersama Ibu Tunggal N.53 Morib di Taman Kemuning, Morib di sini hari ini.
Shahrizat juga berkata, rakyat hanya ada pilihan dalam PRU-14 ini sama ada BN yang membangunkan negara atau PKR yang bakal menghancurkan Malaysia.
“Saya tengok Tun Mahathir (Mohamad), Muhyiddin dan Mukhriz buat memecahbelahkan kita, fitnah, tohmahan. Maaf cakap, di usia itu, saya rasa kita tak boleh biarkan orang lain memanipulasikan kita.
“Kalau pilih BN, insya-Allah Datuk Seri Najib Razak akan jadi Perdana Menteri. Kalau pilih BN, kita ada tempat untuk semua, orang Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak dan lain-lain.
“BN tahu walaupun kita ini ada kekuatan, ada sedikit kelemahan, tetapi pada akhirnya kita jaga negara dan rakyat dengan baik,” katanya.
Katanya lagi, keupayaan pakatan pembangkang mentadbir negara diragui susulan pergaduhan dan perebutan kerusi dan jawatan berlanjutan sejak tahun 2013 hingga kini khususnya di Selangor.
“Dulu mereka kata Pakatan Harapan tapi sekarang sudah tunggang terbalik dia berkelahi sesama dia.
“Parti dia tak boleh adakan mesyuarat, macam mana nak jaga negara, hancur kalau kita biar mereka mentadbir,” katanya lagi – MalaysiaGazette