Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Wanita Barisan Nasional, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tengah) bersama calon Barisan Nasional N.53 Morib, Rozana Kamarulzaman (dua kiri) bersalaman dengan Jentera Jalinan Rakyat (JR) pada Program Walkabout Ramah Mesra Bersama Jentera Jalinan Rakyat (JR) sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di IKBN Kuala Langat, Kuala Langat, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 02 MEI 2018.

BANTING – Soal calon tempatan atau calon luar tidak timbul kepada pembangkang dalam PRU-14 kerana mereka memang terkenal sebagai jaguh lompat kawasan bertanding.

Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, langkah pengecut bekas wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu jelas kelihatan di kerusi-kerusi yang dimenangi mereka sejak dua penggal lalu.

“Tengok pembangkang dari kutub sana, mari ke kutub sini, Wan Azizah lari dari sana (Permatang Pauh) pergi ke Pandan, Nurul Izzah pula takut duduk di Lembah Pantai.

“Kita tengok calon-calon pembangkang macam tu (lintang-pukang) mereka tak boleh duduk satu tempat, lebih dari dua penggal saya tengok.

“Kali ini kalau dia duduk di Lembah Pantai, pasti kalah, sekarang lari ke Permatang Pauh,” katanya berucap pada Program Walkabout Ramah Mesra Bersama Jentera Jalinan Rakyat (JR) sempena kempen PRU14 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat di sini hari ini.

Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Wanita Barisan Nasional, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tengah) bersama calon Barisan Nasional P.112, Shahril Hamdan (dua kanan) dan calon Barisan Nasional N.53 Morib, Rozana Kamarulzaman (tiga kiri) pada Program Walkabout Ramah Mesra Bersama Jentera Jalinan Rakyat (JR) sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di IKBN Kuala Langat, Kuala Langat, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 02 MEI 2018.

Hadir sama calon BN Parlimen Kuala Langat, Sharil Sufian Hamdan; calon BN Sijangkang, Datuk Sulaiman Karli; calon BN Banting, Ng Siok Hwa dan calon BN Morib, Rozana Kamarulzaman.

Shahrizat juga berkata, calon-calon BN yang diketengahkan kali ini merupakan anak tempatan dan boleh memenangkan parti meskipun tewas di Selangor sejak 2008.

“Shahril bukan anak luar, Shahril (calon Parlimen Kuala Langat) juga anak tempatan, datuk beliau orang Kuala Langat, beliau keluar nak pergi belajar saja.

“Yang paling mustahak, dalam pilihan raya kita tak boleh kira orang luar atau orang dalam, kita nak calon akan membawa kepada kemenangan,” katanya.

Dalam PRU-14 pada 9 Mei ini, BN mempertaruhkan Sharil Sufian selaku ahli jawatankuasa eksekutif Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di kerusi P112 Parlimen Kuala Langat.

Kerusi P112 tumbang ke tangan pembangkang sejak PRU-12 pada 2008 dan PRU13 pada 2013. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast