JOHOR BAHRU – Calon Pas untuk kerusi Parlimen Pulai, Dr. Mohd. Mazri Yahya tidak menganggap lawannya dari PKR, Salahuddin Ayub sebagai ancaman untuk memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ini kerana Salahuddin yang sebelum ini merupakan bekas Naib Presiden Pas dan sangat dihormati di Johor mempunyai liabiliti tersendiri ekoran pendiriannya yang tidak tetap dalam politik.
“Bagi saya ia merupakan satu pertandingan yang sihat dalam situasi politik pada hari ini.
“Walaupun ada kesan sedikit sebab aura Datuk Nur Jazlan dan saudara Salahuddin Ayub tetapi bagi saya mereka juga (Salahuddin) memegang liabiliti sebagai seorang pendokong parti politik yang mempunyai masalah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Mazri berkata, Salahuddin yang sudah berubah apabila meninggalkan Pas tidak mungkin diterima oleh penyokong-penyokongnya kerana di Johor Pas merupakan parti yang ramai pengikut selain Barisan Nasional (BN).
Katanya, usaha keras yang dilakukan olehnya melalui gerak kerja amal sejak PRU13 akan dinilai pengundi di kawasan berkenaan, sekali gus membuka jalan untuk Pas memenangi kerusi Parlimen di situ.
Tambah beliau, di Johor Pas tidak tergugat dengan Parti Amanah Negara (PAN) kerana bilangan pengikut parti itu tidak ramai, sekitar 10 peratus sahaja.
“Dengan perpecahan yang berlaku di dalam UMNO dan PPBM kita rasa peluang itu terbuka kepada Pas.
“Insyaallah, dengan sikap pemimpin-pemimpin Amanah yang tidak tetap pendirian itu serta episod-episod fitnah yang dilemparkan kepada Pas oleh mereka selama ini akan membuka minda pengundi dalam menilai seiapa mereka itu,” katanya.
Pada PRU14 9 Mei ini kerusi Parlimen Pulai akan menyaksikan pertandingan empat penjuru.
Penyandang kerusi Parlimen tersebut Datuk Nur Jazlan Mohamed akan dicabar oleh Mohd Mazri, Salahuddin dan seorang calon bebas, Yap Keng Tak.
Pada PRU13, Nur Jazlan memenangi Parlimen Pulai dengan majoriti 3,226 undi. – MalaysiaGazette