BANTING – Rakyat Selangor boleh menuntut segala janji yang termaktub dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) sekiranya pengundi kembali memberi mandat di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.
Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, segala janji pilihan raya BN diyakini boleh ditepai dan dilaksanakan kerana ia dibuat berdasarkan kajian dan maklum balas daripada rakyat khususnya wanita.
“Kuala Langat menjadi satu contoh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor yang insya-Allah BN akan menang kerana pengundi sudah bosan dengan janji kosong oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor.
“Ini maklum balas yang saya dapat daripada jentera Jalinan Rakyat dan JR Plus. Kalau tengok manifesto BN, secara umumnya untuk wanita banyak insiatif dan peluang untuk mencerahkan masa depan ibu tunggal dan keluarga mereka.
“Akujanji kita bukan omongan kosong, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkaji setiap yang kita janji 364 inisiatif insya-Allah kalau menang rakyat boleh tuntut daripada BN,” katanya selepas melakukan Walkabout bersama calon DUN Morib, Rozana Kamarulzaman di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Kemuning, di sini, hari ini.
Shahrizat turut meluangkan masa hampir 10 minit menyantuni ibu tunggal, kanak-kanak dan ibu bapa Tadika KEMAS Taman Kemuning, di sini.
Hadir sama penyandang DUN Morib, Hasiman Sidom; Ketua Wanita BN Selangor, Datuk Norhayati Onn dan calon Parlimen Kuala Langat, Shahril Hamdan.
Shahrizat selaku Ketua Wanita UMNO juga berkata, hanya BN sahaja mampu membela kebajikan dan melaksanakan segala janji demi kepentingan wanita khususnya ibu tunggal.
“Mereka di sini sudah bersedia untuk memberi semula mandat kepada BN apatah lagi mereka tengok muka-muka ada potensi membawa kepada pembangunan di Kuala Langat.
“BN memang menjaga ibu tunggal dengan begitu baik, bukan janji kosong. Kita bukan macam sebelah sana (PH) dia seronok saja (berjanji) dalam manifesto mereka pun tiada (manfaat wanita), janji kosong saja.
“Kita daripada kajian dan maklum balas, periksa dengan wanita, apa yang mereka nak, apa yang mereka perlu, kemudian kita maklum kepada Datuk Seri Najib.
“Ini janji kita boleh laksanakan, bermakna rakyat boleh pegang atas janji kita, bila menang kita akan sampaikan,” katanya. – MalaysiaGazette