Rashon Nelson (kiri) dan Donte Robinson

PHILADELPHIA – Kes penahanan dua lelaki kulit hitam  di kafe Starbucks dekat sini bulan lalu hingga mencetuskan protes perkauman dalam kalangan ramai telah diselesaikan.

Rashon Nelson dan Donte Robinson secara simbolik akan menerima AS$1 dan sumbangan sebanyak AS$200,000 oleh Datuk Bandar Philadelphia bagi penubuhan program usahawan muda

Kedua-dua lelaki itu ditahan polis ketika menunggu rakan mereka di dalam kafe berkenaan atas alasan tidak membuat sebarang pembelian.

Penahanan mereka menjadi tular di media sosial dengan menunjukkan kedua tangan mereka digari selepas pengurus kafe itu mendakwa mereka telah menceroboh masuk dan menyebabkan gangguan.

Kedua-dua sahabat itu ditahan selepas duduk di Starbucks untuk bertemu bagi membincangan urusan hartanah.

Kes yang menjadi isu perkauman itu menyebabkan Starbucks terpaksa mengadakan latihan anti-bias kepada seluruh kakitangannya.

Pemberian bantuan wang AS$200,000 itu akan digunakan untuk mewujudkan program perintis bagi pelajar sekolah menengah awam di bandar dengan aspirasi untuk menjadi usahawan, seperti yang dicadangkan oleh Robinson dan Nelson.

Robinson dan Nelson tidak akan menerima apa-apa wang daripada bantuan tersebut.

Mereka yang ditahan beberapa jam, dibebaskan dan tiada pertuduhan dikenakan terhadap kedua-dua mangsa.

Ketua Polis Philadelphia dan Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks memohon maaf atas kejadian itu. – MalaysiaGazette