SERI KEMBANGAN – Parti-parti pembangkang khasnya di kawasan Parlimen Bangi diminta berhenti menngunakan taktik ‘politik’ kebencian bagi menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini.
Menurut calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bangi, Datuk Liew Yuen Keong, tindakan pembangkang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini apabila hanya menggunakan politik kebencian sebagai modal mengaburi mata pengundi.
Beliau yang juga Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Bangi kecewa kerana pembangkang hanya menggunakan politik kebencian dengan menyebarkan pelbagai berita palsu tentang kerajaan dan usaha yang dilakukan oleh pihaknya kepada pengundi di kawasan ini.
“Sangat mengecewakan apabila rata-rata pihak lawan hanya menggunakan politik kebencian untuk menang undi, selain menyebabkan rakyat terutamnya kaum tertentu membenci serta menolak segala sumbangan serta inisiatif kerajaan.
“Yang rugi adalah rakyat pada akhirnya. Pembangkang hanya menggunakan modal ‘air liur’ untuk bercakap apa sahaja dan membangkang semua usaha kerajaan walaupun ianya membawa kebaikan dan kesejahteraan masa depan.
“Sangat sedih. Saya menyeru kepada pembangkang supaya berhenti ‘kegilaan’ ini.
“Jangan rugikan dan rosakan masa depan rakyat yang percayakan kita akan membawa perubahan kepada mereka. Kerana percaya pemimpin politik mampu membela nasib dan perjuangkan kebajikan, mereka undi kita. Jangan hancurkan kepercayaan mereka terhadap kita. Hentikan politik kebencian.
“Kami di Parlimen Balakong menolak dan tidak menggunakan politik kebencian sebagai modal untuk menang PRU kali ini. Kami hanya memberi keyakinan dan bukan janji kosong kepada para pengundi, kami sebarkan berita tentang apakah keupayaan kami seandainya menang kelak,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Balakong di sini hari ini.
Dalam pada itu, Yuen Keong turut membidas perbuataan ‘vandalisma’ tidak bertanggungjawab penyokong pembangkang yang secara terang-terangan menumpahkan cat merah pada semua poster calon BN di kawasan sekitar Balakong dan Cheras Jaya.
Yuen Keong menambah, mereka juga mencabut kesemua bendera BN dan bertindak mengoyakkan poster serta risalah dan memotong papan tanda pada waktu malam.
“Saya sendiri pelik dan sedih dengan perbuatan ini. Kita perlu bersaing dengan adil dan telus. Kenapa sampai perlu buang masa rosakan papan tanda dan poster kita? Siap tumpahkan cat merah.
“Jika anda yakin anda boleh menang, beri keyakinan kepada para pengundi apa yang anda boleh lakukan. Jangan lakukan sesuatu yang sia-sia dan kotor seperti ini.
“Tarikh mengundi sudah semakin dekat, saya pasti akan ada lebih banyak perbuatan yang tidak ‘masuk akal’ akan di lakukan oleh golongan ini. Lebih baik hentikan semua ini kerana rakyat nampak apa di lakukan oleh anda,” tegasnya. – MalaysiaGazette