SUBANG – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan berazam untuk memperkasakan wanita di kawasan itu terutama dalam bidang perniagaan.
Ianya juga seperti mana iltizam Barisan Nasional (BN) peringkat negeri untuk menubuhkan Yayasan Pemerkasaan Wanita Darul Ehsan.
“Apa yang saya nak buat untuk lima tahun akan datang saya nak memperkasakan lagi kebajikan penduduk, memperkasakan wanita di Kota Damansara ini kita mempunyai 50, 438 pengundi dan lebih daripada 50 peratus keseluruhan pengundi adalah wanita.
“Jadi, saya nak mengambil inisiatif kan Manifesto BN peringkat negeri nak menubuhkan Yayasan Pemerkasaan Wanita Darul Ehsan jadi saya nak mengamnbil insiatif untuk membantu wanita ini untuk mereka lebih berjaya dalam bidang keusahawanan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selesai program ‘Walkaboutnya bersama calon Parlimen Sungai Buloh A Prakash Rao di Subang Perdana petang tadi.
Halimah turut membidas tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sering memomokkan pengundi negeri itu dengan isu air yang kononnya akan menjadi lebih buruk jika BN kembali memerintah.
Beliau sebaliknya menegaskan, BN bukan sahaja akan mengekalkan tarif air percuma malah akan menambah baik industri itu jika pengundi mengembalikan mandat kepada mereka.
“Ikut manifesto BN di peringkat Selangor kita sebenarnya nak memperbaiki dan menambahbaik isu air dan kita juga tidak akan menghapuskan apa yang diberi kerajaan negeri sekarang memberi air percuma kepada semua masyarakat di seluruh Selangor.
“Kita nak buat penambahbaikan lebih baik daripada Selangor sebelum ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette