KUALA LUMPUR – Lima hari lagi menjelang mengundi, Barisan Nasional (BN) dilihat selesa berkempen dengan cara berhemah.
Bermula hari penamaan calon sehingga hari ini, tiada insiden-kacau ganggu berlaku di kem-kem Barisan Nasional (BN) berbanding pihak Pakatan Harapan (PH).
Insiden seperti terlupa bawa kad pengenalan, pas calon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), muflis dan tidak tukar alamat berlaku kepada calon gabungan pembangkang.
Bermula dengan calon daripada PKR, Dr. S. Streram yang gagal gagal mengemukakan pas calon SPR antara drama yang berlaku pada pada 28 April lalu sehingga menyebabkan penyandang kerusi DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding.
Ekoran itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail secara terang-terangan menyalahkan Pas yang menarik calon mereka daripada bertanding di kerusi berkenaan.
“Pasai apa calon Pas tak bertanding di DUN Rantau? Ini menyebabkan dia (calon BN, Datuk Mohamad Hasan) menang tanpa bertanding.
“UMNO menang tanpa bertanding sebab calon kita (PH) ditahan tidak bagi bertanding dan calon Pas tarik diri. Mesti ada kira-kira (perbincangan) antara UMNO dengan Pas,” katanya dalam satu ceramah di Bagan Datuk.
Walhal menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri memaklumkan keputusan Pas dan blok Gagasan Sejahtera memang tidak ada menghantar calon di DUN Rantau sejak awal-awal lagi.
Jika dihitung, banyak lagi drama yang berlaku dalam kem PH.
Antaranya calon Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr. Tan Yee Kew yang nyaris-nyaris tidak layak bertanding kerusi Parlimen Wangsa Maju gara-gara terlupa membawa kad pengenalan semasa proses penamaan calon.
Tidak lupa juga, Naib Presiden PKR, Tian Chua tidak dapat mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak tahun 2008 apabila hilang kelayakan bertanding setelah pencalonannya ditolak oleh SPR kerana beliau telah dihukum denda RM2,000 atas kesalahan menghina polis.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan proses penamaan calon PRU-14 bagi pihak BN adalah yang paling tertib berbanding PRU sebelum ini.
Katanya, ia mencerminkan proses demokrasi dalam keadaan tenteram khususnya yang ditunjukkan BN.
“Sehingga kini tiada sebarang kekecohan dilaporkan dan perkembangan ini membuktikan PRU-14 ini paling tertib,” katanya. -MalaysiaGazette