KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) tidak pernah mengenali lelaki bernama Rizal Bakar yang mendakwa ahli parti itu dan bertindak mendedahkan skandal yang didakwa melibatkan Mohamad Sabu dengan seorang wanita muda, semalam.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung PAN, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, pihaknya telah membuat semakan pada pengkalan data keahlian parti terkini dan mendapati nama Rizal Bakar@Bakaq tidak ada dalam rekod keahlian.
“Kami mengambil maklum sidang media oleh tiga individu diketuai oleh penama Rizal Bin Bakar (Rizal nama bapanya Bakaq) yang mendakwa sebagai ahli PAN Kawasan Kuala Kedah.
“Selain namanya tidak ada dalam rekod PAN Pusat, kami juga turut membuat semakan dengan PAN Kuala Kedah dan tiada seorang pun mengenali individu tersebut.
“Kami percaya beliau mempunyai niat dan agenda jahat terhadap kepimpinan dan parti PAN serta Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Semalam, seorang individu yang mendakwa dirinya ahli PAN tampil mendedahkan skandal yang didakwa melibatkan presiden parti itu yang lebih dikenali dengan nama Mat Sabu bersama seorang wanita muda.
Dalam sidang media di ibu negara itu, individu berkenaan yang memperkenalkan dirinya sebagai Rizal Bakar dan mengaku ahli PAN Kuala Kedah, turut menunjukkan bukti mengaitkan Mat Sabu.
Menurutnya, dia mewakili beberapa lagi rakannya yang juga ahli PAN terpanggil untuk mendedahkan kepada umum selepas menerima sebuah sampul mengandungi salinan yang dicetak menggunakan kertas bersaiz A3 menunjukkan perbualan Whatsapp kononnya, antara Mat Sabu dengan seorang wanita.
Malah, pada sidang media itu, Rizal turut memainkan rakaman perbualan telefon Mat Sabu dengan wanita yang sama.
Mengulas lanjut, Abang Ahmad Kerdee berkata, taktik serangan moral peribadi yang dibuat oleh mereka dalam sidang media itu bukan suatu yang baru, bahkan tindakan politik jahat yang lazim dibuat ke atas pimpinan pembangkang setiap kali berlangsung pilihan raya umum.
Sebelum ini pun, katanya, beberapa ahli politik lain turut menjadi mangsa politik kotor seperti itu.
“Tindakan terdesak ini dipercayai dibuat kerana Pakatan Harapan dan PAN menerima sokongan semakin meningkat daripada rakyat Malaysia khususnya dari kalangan orang Melayu.
“Kajian terakhir menunjukkan sokongan Melayu terhadap PH meningkat dan pada masa sama sokongan Melayu kepada Barisan Nasional (BN) dan Pas merosot.
“Kami percaya tindakan ini dibuat untuk menghilangkan kepercayaan pengundi Melayu atas pagar dan penyokong Pas terhadap PH.
Beliau turut menyatakan, Mat Sabu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tersebut, termasuk menyamar sebagai ahli PAN. – MalaysiaGazette