Presiden MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz Rahman. foto FAREEZ FADZIL, 14 JULAI 2017.
Abdul Aziz Rahman

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO yang mempunyai pandangan untuk disuarakan atau teguran mengenai pentadbiran sedia ada sepatutnya menyalurkannya secara berhemah.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, perbincangan dan teguran boleh dilakukan dengan peringkat parti terlebih dahulu berbanding dengan membuat kritikan secara lantang.

“Saya pun tidak faham sebab mereka mengeluarkan kenyataan yang mungkin mencerminkan kehakisan kepercayaan mereka terhadap ideologi yang diperjuangkan UMNO dan pentadbiran.

“Saya rasa ideologi UMNO tidak berubah bahkan semakin kuat meneruskan perjuangan yang belum selesai,”katanya yang mempertikaikan kesetiaan veteran UMNO yang lantang bersuara hari ini dan menyokong pembangkang.

“Kemungkinan yang mereka komen adalah cara pelaksanaan, kalau begitu berbincanglah bersama UMNO kalau masih UMNOlah. Berunding, berbincang beri pandangan kepada UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette

Beliau berkata demikian mengulas tindakan veteran parti itu, Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Rais Yatim dan Tun Daim Zainuddin yang secara terbuka bukan sahaja mengkritik Barisan Nasional (BN) malah menyatakan sokongan terhadap Pakatan Harapan.

Selepas bekas Menteri Kewangan Tun Daim hadir dengan Tun M semasa berkempen, semalam, Rafidah yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri muncul pada ceramah gabungan Pakatan Harapan di Melaka.

Rais Yatim dan Rafidah sebelum ini sudah beberapa kali mengkritik kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Razak.

Dalam perkembangan terbaru, ketiga-tiga mereka telah dipecat dari UMNO hari ini.

Dalam pada itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang berbaki empat hari sahaja lagi, Aziz Rahman yang juga salah seorang daripada veteran UMNO berkata, lebih banyak ramalan tidak sahih mengenai ‘Tsunami Melayu’ yang akan berlaku.

Jelas beliau, bukan sahaja perlu dipertikaikan apa juga ramalan oleh mana-mana badan bebas sebenarnya wajar untuk tidak dipercayai kerana motif kajian itu tidak jelas.

Aziz tetap dengan pendiriannya bahawa tidak ada peralihan pengundi Melayu daripada BN walaupun wujud Pakatan Harapan.

“Dekat nak mengundi ni pelbagai laporan dan kajian macam kilang kajian untuk meramalkan keputusan yang akan datang jadi saya merasakan kita tidak payah ambil peduli sahih tidak sahih kajian itu pun dipersoalkan.

“Saya rasa tidak timbul soal tsunami Melayu budaya politik Melayu adalah UMNO. Serpihan ada tetapi mengatakan banyak berpindah itu tidak,” ujar beliau.-MalaysiaGazette