Datuk Yahaya Mat Ghani
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Sentul Murni di Sentul, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Ketiadaan penyandang Parlimen Batu, Tian Chua dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini tidak dianggap sebagai laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi yang dimenangi PKR itu sejak tahun 2008.

Pengerusi BN Batu, Datuk Yahya Mat Ghani berkata, pihaknya tidak pernah mengambil mudah meskipun siapa pun bakal ditentang namun mengakui ketiadaan Tian Chua agak melegakan.

“Ianya tidak mudah, walaupun kita merasakan ia sedikit mudah, tetapi sebenarnya ia tidak. Kita beranggapan walaupun calon bebas dan Pas yang akan kita tentang, ianya seperti juga kita menentang Tian Chua.

“Sebab dalam mana-mana pilihan raya, kita tak boleh ambil mudah. Kita kena bekerja, kena berusaha untuk memenangkan parti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran PPR Sentul Murni di sini hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani (dua kiri) menyerahkan surat tawaran kepada Ani Abdullah (dua kanan) sambil diiringi calon Barisan Nasional P.116 Wangsa Maju, Datuk Seri Yeow Teong Look (tengah) dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, N. Jayaselan (kiri) pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Sentul Murni di Sentul, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 MEI 2018

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, N.Jayaselan; Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah dan calon BN Parlimen Wangsa Maju, Datuk Seri Yew Teong Look.

Beliau mengulas tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menolak pencalonan Tian Chua sebagai calon PKR di Parlimen Batu pada 28 April lalu berikutan kes Mahkamah Tinggi Shah Alam melibatkan denda RM2000 pada 2013 atas kesalahan menghina polis.

Yahya turut mempertikai tindakan terdesak PKR yang menyokong calon bebas, P.Prabakaran di kerusi P116 bagi menghalang kemaraan BN.

“Ini satu kejutan kepada kita tetapi saya yakin dan percaya rakyat serta pengundi Batu cerdik, pandai dan faham siapa itu nak jadi ahli Parlimen, orang yang boleh membuat jasa, bekerja untuk rakyat.

“Kalau budak 22 tahun apa yang dia tahu? Apa yang boleh dia buat, tak boleh nak berkhidmat kepada masyarakat dan 76,000 pengundi di Parlimen Batu.

“Tapi Insya-Allah kita yakin dan percaya BN akan menang di Parlimen Batu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast