Tan Sri Zulhasnan Rafique
Calon Barisan Nasional Parlimen Setiawangsa, Tan Sri Zulhasnan Rafique bercakap kepada media di Bilik Gerakan Menara Sri Jati, Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Setiawangsa mempertaruhkan empat majlis dalam komuniti tempatan yang ditubuhkan sejak 2004 sebagai saluran memperkukuhkan hubungan parti itu dengan rakyat tanpa mengira musim pilihan raya.

Pengerusinya, Tan Sri Zulhasnan Rafique berkata, rakyat di Parlimen Setiawangsa boleh memanfaatkan empat majlis itu bukan sahaja untuk menyalurkan pandangan bahkan rintihan dapat didengari dan diselesaikan segera.

“Strategi dan pendekatan ini kita telah pakai ketika Setiawangsa ditubuhkan pada 2004. Kita telah mengeluarkan ideologi ‘Merakyatkan Setiawangsa’ iaitu menggerakkan aktiviti-aktiviti di peringkat akar umbi melalui penduduk-penduduk sendiri menerusi empat majlis itu.

“Kalau kita tengok mereka ini yang berada dalam majlis inilah rakyat Setiawangsa dan mereka adalah suara, mengeluarkan cadangan jika ada rintahan mereka akan keluar rintihan terhadap empat teras pembangunan Setiawangsa.

“Empat teras itu ialah kesihatan, infrastruktur, keselamatan dan sosial,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika menemui pengundi Wangsa Maju di Bilik Gerakan Menara Sri Jati, Setiawangsa, di sini, hari ini.

Tan Sri Zulhasnan Rafique
Calon Barisan Nasional Parlimen Setiawangsa, Tan Sri Zulhasnan Rafique (tengah) bersama jentera Barisan Nasional melihat kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keramat Wangsa di Bilik Gerakan Menara Sri Jati, Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 MEI 2018.

Antara empat majlis itu ialah Majlis Permuafakatan Masjid dan Surau (MAPEMS) Parlimen Setiawangsa, Majlis Permuafakatan Pembangunan Pendidikan (M3P) Parlimen Setiawangsa, Majlis Permuafakatan Persatuan Penduduk dan Penghuni (M4P) Parlimen Setiawangsa dan Majlis Permuafakatan Rukun Tetangga (MPRT) Parlimen Setiawangsa.

Zulhasnan selaku Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa berkata, walaupun beliau tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), namun berdasarkan gerak kerja sejak 2004, rakyat masih setia bersama BN untuk mewakili mereka di Parlimen.

“Walaupun saya berehat sejak lima tahun lalu, tapi saya masih meletakkan beberapa petugas parti di Parlimen Setiawangsa untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat berterusan.

“Ini bermakna perkhidmatan saya masih diteruskan walaupun lima tahun lalu saya bukan wakil rakyat mereka,” katanya.

Zulhasnan berkata, walaupun beliau menerima sedikit gangguan daripada kem pembangkang ketika berkempen, namun usaha untuk menemui rakyat Setiawangsa tetap diteruskan.

“Biasalah ada ganggu sikit tapi saya tak pedulikan semua itu dan kita terus buat kerja untuk rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast