KUALA LUMPUR – Polis telah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kenyataan ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad yang mendakwa pembangkang menjalankan propaganda jahat dan menyebar fitnah sepanjang kempen untuk memenangi PRU-14 ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Polis Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan akan dibuat berdasarkan laporan polis Amran di Balai Polis Pudu semalam.
“Sebelum kita bertindak melakukan sebarang tangkapan, serbuan atau tindakan lebih lanjut, kita akan mengambil keterangan Amran ang dijangka dipanggil polis pada bila bila masa dalam waktu terdekat.
“Kita tanpa mengira parti politik mana dalam hal ini memang memandang serius aduan itu kerana ia jelas mengancam keselamatan negara dan demokrasi berparlimen.
“Apabila sesuatu perkara melibatkan ancaman negara berlaku kita polis tidak boleh berdiam diri dan perlu bertindak serius mengelak polis dianggap tak buat kerja ,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Ledak sempena PRU-14 di Pusat Beli Belah MyTown, Jalan Cochrane di sini petang tadi.
Dalam perkara itu, Mazlan berkata, polis menyedari keseriusan dakwaan itu telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan.
Media sebelum melaporkan Amran yang masih merupakan ahli seumur hidup DAP meminta polis menjalankan siasatan menyeluruh dan menghentikan propaganda jahat DAP sebelum PRU14 berakhir.
Amran juga telah menyerahkan segala bukti berkaitan puluhan rakaman dan video serta risalah jahat yang didakwa disebarkan DAP.- MalaysiaGazette
Saya tak mahu bersekongkol lagi dengan DAP, kata Amran