LANGKAWI – Selepas dikritik kerana didakwa menghina penerima BR1M Tan Sri Mokhzani Mahathir hari ini membuat penjelasan.
Anak kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu menyifatkan subsidi dan dana kerajaan hanya bersifat luaran dan penyelesaian jangka pendek.
Katanya, seharusnya kerajaan memastikan rakyat hidup selamat dan selesa dengan masa depan mereka terbela dan jangan asyik bergantung serta mengharapkan bantuan daripada pihak lain.
“Saya bagi tiga senario. Pertama, kita masuk kedai dan berkemampuan membeli. Itu maksudnya kita mampu.
“Senario kedua, kita masuk kedai dan tidak mampu membeli manakala senario ketiga, ada orang bagi duit tambahan dan kita dapat membeli apa sahaja. Kita rasa kita hebat. Sedangkan sebenarnya kita tidak berkemampuan.
“Satu hari nanti, pertolongan yang dia bagi semakin meningkat dan menjadi kebiasaan. Itu senario yang saya sangat takut berlaku,” katanya pada majlis santai bersama Sahabat Berani Bersatu di sini petang tadi.
Walaupun tidak menyebut BR1M namun dipercayai ia ada kaitan dengan isu yang sama yang menyebabkan ahli perniagaan itu menerima kritikan hebat daripada pihak Barisan Nasional sejak kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Mokhzani memberitahu, kerajaan seharusnya mencari punca dan penyelesaian bagi memastikan rakyat selesa, selamat membuat keputusan sendiri dan tidak asyik bergantung kepada bantuan semata-mata.
Dalam sidang media selepas itu, Mokhzani berkata, sesetengah rakyat merasakan diri mereka termakan budi menerusi bantuan dan nikmat yang dihulurkan kerajaan sehingga mengikat keputusan apabila diminta membuat pilihan. – MalaysiaGazette