KUALA LUMPUR – Empat lelaki ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan Pasukan Khas ESSCOM, Unit 69 Komando dan Pasukan Polis Marin yang menjalankan rondaan di perairan Laut Sahabat di Lahad Datu, Sabah awal pagi ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, pasukan keselamatan telah memintas bot yang bergerak laju ke arah sekumpulan bot nelayan di kawasan itu kira-kira pukul 2 pagi dalam keadaan lampu biru polis dinyalakan.

Tiba-tiba bot suspek telah melepaskan tembakan yang dikesan apabila percikan api kelihatan di bot suspek ke arah pasukan keselamatan.

“Bagi tujuan mempertahankan diri, pasukan keselamatan telah melepaskan tembakan balas. Setelah membuat pemeriksaan di bot dan sekitar kawasan laut telah menjumpai dua mayat lelaki dengan kesan tembakan yang dipercayai suspek di dalam bot dan dua mayat lelaki lagi di dalam air laut,” katanya.

Suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri berumur antara lingkungan 20an hingga 40an.

Menurutnya, lokasi kejadian berada dalam kawasan perintah berkurung.

Berdasarkan dari penemuan kelongsong peluru dalam bot suspek, dipercayai kumpulan itu menggunakan senjatapi berat.

Polis percaya senjata api tersebut tercampak ke dalam laut semasa insiden tembak-menembak.

Lantaran itu, polis telah mengerakkan pasukan Komando 69 dan polis marin Lahad Datu untuk melakukan selaman bagi mengesan senjata api suspek yang terjatuh di dalam laut namun sehingga kini masih gagal menemui senjata.

Selain itu, polis merampas sebuat bot warna putih hitam yang tiada nombor pendaftaran, sepucuk pistol, senjata api dan kelongsong peluru. – MalaysiaGazette