PRU14
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (tengah) diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim (kiri) dan Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab (kanan) bercakap pada sidang media Khas Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Orang ramai supaya jangan terpedaya dengan berita palsu yang bertujuan membangkitkan kegelisahan dan rasa takut ekoran spekulasi pihak tertentu akan berlaku kacau bilau sebelum PRU-14.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan pilihan raya umum kali ini berjalan dengan aman dan tenteram.

Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi yang melampau sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Menurut beliau dalam kenyataan hari ini, PDRM mendapati penyebaran berita-berita palsu kian memuncak menjelang esok.

“Selain mengandungi berita-berita palsu yang berbaur fitnah dan hasutan dikesan ada juga berita yang cuba membentuk persepsi akan berlaku kacau bilau dan ketidaktenteraman awam jika pihak tertentu menang dalam PRU-14.

“PDRM ingin mengulangi jaminan bahawa situasi keselamatan negara adalah kekal terkawal dan selamat.

“Proses penamaan calon telah berjalan dengan lancar walaupun berlaku beberapa insiden terpencil yang berjaya ditangani dengan baik,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sehubungan itu, PDRM yakin bahawa proes pembuangan undi akan turut berjalan dengan lancar dan masyarakat akan menerima apa jua keputusannya dengan penuh kematangan dan hati yang terbuka.

“Ini kerana adalah keputusan yang dibuat oleh rakyat sendiri dalam menentukan masa depan negara. Oleh demikian rakyat Malaysia diminta untuk turun beramai-ramai bagi menjalankan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” katanya.-MalaysiaGazette