KOTA KINABALU- Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal meminta Tan Sri Musa Aman membawa pertikaian pelantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu ke mahkamah sekiranya tidak berpuas hati.
Shafie menafikan berlaku krisis perlembagaan sambil menekankan bahawa Sabah tidak mempunyai dua Ketua Menteri ketika ini kerana Musa yang mewakili Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai majoriti cukup 60 kerusi Dewan Undangan Negeri.
“Penilaian telah dibuat dan apabila Yang di-Pertua Negeri yakin seseorang itu mempunyai majoriti yang cukup, Ketua Menteri terdahulu pula tidak mempunyai majoriti yang cukup, beliau perlu mengosongkan kedudukan tersebut dan meletak jawatan.
“Sekiranya seseorang itu memiliki majoriti yang cukup maka ia bukanlah satu krisis perlembagaan,” katanya kepada pemberita semasa sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang ke-15 di kediamannya di Taman Golfview, malam tadi.
Shafie bagaimanapun berkata, Musa bebas untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.
Mohd Shafie dilantik Ketua Menteri selepas parti pimpinannya bersama PKR dan DAP memperoleh majoriti mudah iaitu 35 kerusi daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila enam Anggota DUN dari BN iaitu empat dari UMNO dan dua dari UPKO berpaling tadah kepada parti Warisan.
Mohd Shafie, 61, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada pukul 9.11 malam tadi dan menandatangani watikah pelantikan dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.
Pada malam 10 Mei lepas, Musa, yang juga Ketua Perhubungan UMNO Sabah dan Pengerusi BN Negeri, telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri bersama Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan sebagai timbalan ketua menteri, selain dua lagi timbalan ketua menteri dan tujuh menteri penuh.
Bagaimanapun, pada petang semalam, Musa menafikan beliau meletak jawatan malah mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri yang pertama di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri di sini, tengah hari semalam.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Rabu lalu, Warisan memperoleh 21 kerusi DUN, manakala rakan-rakan Warisan dari Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP memperolehi enam kerusi dan PKR dua kerusi.-MalaysiaGazette