PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan Bersih bahawa pihaknya memanipulasi Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk memenangkan pihak tertentu.
Dalam kenyataan terbaharu, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, semua proses PRU-14 dilaksanakan dengan telus dan adil tanpa sebarang unsur manipulasi terhadap mana-mana pihak.
“Pada hari pengundian awal dan pengundian biasa, semua proses adalah dikendalikan oleh petugas pilihan raya yang dilantik di kalangan orang awam yang berjumlah 259,000 orang.
“Ia turut disaksikan oleh semua ejen-ejen calon yang dilantik oleh calon dan parti yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Hashim, SPR tidak pernah bercampur tangan dalam semua urusan termasuk semasa proses pengiraan dan penjumlahan kertas undi.
“Keputusan penuh PRU-14 yang berpihak kepada gabungan parti Pakatan Harapan dan berlakunya peralihan kerajaan secara lancar dan teratur jelas membuktikan bahawa PRU-14 telah dijalankan secara telus dan adil.
“Dalam hal ini SPR bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi membuktikan bahawa tidak berlaku sebarang manipulasi atau penyelewengan semasa proses PRU-14,” tegasnya lagi.