Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bercakap kepada media selepas melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Lambaga Pengampunan Diraja berhubung permohonan pengampunan ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mula bersidang pukul 5 petang esok.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya baru sahaja dimaklumkan oleh peguam mereka, R. Sivarasa menegani perkara itu sebentar tadi.

Nurul Izzah memberitahu, setakat ini maklumat itu sahaja yang diterima mengenai bapanya dan beliau tidak pasti jangka masa yang akan di ambil untuk memuktamadkan proses tersebut.

“Keluarga kami baru sahaja dimaklumkan tentang perkembangan baru ini, Jawatankuasa Pengampunan ini akan memulakan sesi perbincangan jam 5 petang esok.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berjalan keluar selepas melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 MEI 2018

“Selepas ini saya akan menemui peguam kami untuk mengetahui dengan lebih lanjut, bagaimanapun jangka masa tepat tentang proses ini kita tidak tahu lagi,” katanya kepada pemberita di perkarangan Unit Kemasukan Pesakit, Pusat Rehabilitasi Cheras, hari ini.

Nurul Izzah pada masa sama memohon kerjasama daripada pihak media supaya tidak berkerumun di luar perkarangan hospital sehingga menggangu laluan pesakit dan keluarga mereka.

“Kita tidak dapat berikan sebarang maklumat berhubung perkara, saya harap anda semua akan bersabar dan tunggu sehingga diberitahu kelak. Sehingga itu saya juga mohon kepada pihak media supaya tidak mengerumuni kawasan hospital, sebaliknya tunggu untuk maklumat yang pasti kami salurkan

“Mungkin anda semua boleh tunggu di bilik menunggu atau kita buat satu kumpulan whatsapp yang boleh salurkan maklumat, anda semua tidak perlu tunggu di luar hospital dari awal pagi kerana prosiding hanya berlaku sebelah petang jam 5, makan, sarapan dan ambil masa anda,” ujarnya.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang disabitkan dengan kesalahan meliwat bekas pembantunya dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menyatakan kesediaan untuk memberi pengampunan segera kepada Anwar.

Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi pengampunan dan menunda hukuman berhubung kesalahan yang dibicarakan mahkamah tentera serta kesalahan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Bagi kes membabitkan Anwar yang dibicarakan di Kuala Lumpur, Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dianggotai Peguam Negara, Menteri yang menjaga hal-ehwal Wilayah Persekutuan dan ahli dilantik Yang di-Pertuan Agong tidak melebihi tiga orang dijangka mengadakan mesyuarat selepas menerima rayuan atau petisyen pengampunan. – MalaysiaGazette