KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) berharap kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) sekarang tidak mengabaikan aspirasi dan harapan anak muda sebelum ini dalam membentuk masa depan negara.
Presidennya, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin berkata, seandainya diabaikan, golongan muda khususnya akan berasakan pandangan mereka tidak penting bagi kerajaan.
“Ini patut dilihat pimpinan kerajaan sekarang. Pimpinan sebelum ini (Barisan Nasional) begitu mendengar suara anak muda dan sanggup membentuk satu visi yang baru kepada negara dengan mengambil aspirasi anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen Belia Kebangsaan dan Sambutan Hari Belia Negara 2018 bertemakan `Cakna Negara: Demokrasi, Populisme & Sosialisasi Politik Belia Pasca PRU ke-14’ di Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai transisi kepimpinan dalam negara, Mua`amar Ghadafi berkata, ia membuktikan betapa Malaysia mengamalkan sistem politik yang cukup matang dan dijalankan dengan cukup baik dan tertib.
“Kita tak jadi seperti negara lain apabila bertukar kerajaan maka berlaku kucar kacir atau pertumpahan darah
Ini membuktikan usaha kita selama ini dalam memberikan pendidikan kepada anak muda supaya menjadi lebih matang dalam politik berjaya. Kita dapat lihat betapa dinamiknya sistem politik negara kita. – MalaysiaGazette