Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan memegang jawatan Menteri Pendidikan, manakala Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Wanita dan Kebajikan.

Dengan pengumuman tersebut, Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga hari ini sudah menamakan menteri di lima kementerian.

Tiga kementerian lagi dipegang oleh ketua dan pemimpin utama parti masing-masing iaitu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Kata Dr. Mahathir, sebanyak 13 kementerian akan diwujudkan dengan  baki lapan lagi akan dipenuhkan oleh empat parti komponen PH menerusi formula 2-2-2-2.

“Saya telah tentukan lima kementerian saja. Kita akan lantik lagi lapan kementerian dengan formula setiap parti sediakan dua calon.

“Bila sudah selesai, kita akan angkat sumpah Isnin ini, kalau dapat persetujuan istana (Yang di-Pertuan Agong),” katanya pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Presiden di Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya, hari ini.

Menurut Dr Mahathir, hari ini adalah mesyuarat pertama Majlis Presiden yang membincangkan berkenaan kemenangan PH dan keperluan parti itu menubuhkan kerajaan.

Katanya, beliau akan memperkecilkan Kabinetnya kepada 25 portfolio, tetapi akan tambah jika ada keperluan.

Mengenai Majlis Presiden, Pengerusi PH itu berkata, setakat ini mempunyai lima anggota utama yang terdiri dari Pengerusi dan Presiden parti-parti.

“Majlis Presiden ini satu badan yang kecil. Kita juga akan masukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR) dalam majlis ini, menjadikan enam anggota.

“Kita juga rancang untuk menambah kepada 15 ahli dengan setiap parti mempunyai wakil Wanita dan Pemuda,” katanya.

Ditanya perpindahan beramai-ramai pemimpin dan ahli UMNO menyertai parti komponen PH, Dr. Mahathir berkata, beliau telah meletakkan syarat iaitu ahli parti lawan (UMNO) tidak boleh menjadi ahli dalam mana-mana parti kerajaan (PH).

Katanya, mereka yang keluar UMNO itu boleh menjadi anggota bebas dan sekadar mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan PH.

Berhubung Petugas Khas, katanya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan beliau dan dianggotai oleh Dr Wan Azizah, Muhyiddin, Mohamad (Mat Sabu) dan Guan Eng.

Katanya, mereka akan memberi perhatian khusus kepada masalah minoriti seperti komuniti India, wanita, pemuda dan Orang Asli.

 

Dr. Mahathir juga turut menamakan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull untuk menerajui badan tersebut menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang meletak jawatan pada Isnin lalu.

Shukri mengambil keputusan bersara wajib pada 2016 ketika sedang menyiasat kes berprofil tinggi termasuk berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).- MalaysiaGazette