Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan rasmi diumumkan sah bertanding kawasan P.100 Pandan sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pusat Penamaan Calon P.100 Pandan, Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 APRIL 2018.
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Lantikan dua timbalan menteri dijangka dapat meringankan dan melancarkan tugas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.

Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal mencadangkan dua timbalan menteri itu khusus bagi wanita dan kanak-kanak selain kebajikan serta masyarakat.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya Kementerian Wanita dan Kebajikan mempunyai Jabatan Wanita, Jabatan Kanak-Kanak dan Masyarakat.

“Dari segi personaliti, Dr Wan Azizah sangat sesuai mengetuai Kementerian Wanita dan Kebajikan.

“Saya percaya sebagai pemimpin utama PKR, beliau dapat memahami masalah wanita dengan lebih baik.

“Walaubagaimana pun, beliau juga adalah Timbalan Perdana Menteri dan memegang dua profolio mungkin agak berat. Saya bimbang isu kebajikan dan hal-hal ehwal wanita terabai dan tidak terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi aplikasi WhatsApp bersama MalaysiaGazette, hari ini.

Noor Aziah yang juga wakil Malaysia ke Suruhanjaya ASEAN mengenai Promosi dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-Kanak berkata, ada negara ASEAN mempunyai dua kementerian iaitu Kementerian Wanita dan Masyarat serta satu lagi, Kementerian Kanak-Kanak dan Kebajikan.

Katanya, perlantikan Dr Wan Azizah menerajui portfolio Kabinet yang mencatat sejarah sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia turut memperlihatkan pengiktirafan kepada golongan Hawa yang merangkumi 50.5 peratus pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Ini secara tidak langsung katanya, menunjukkan keperihatinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap isu-isu dan masalah wanita.

Bagaimanapun, beliau berharap pimpinan kerajaan baru dapat meneruskan sebahagian dasar yang diperkenalkan sebelum ini seperti Tahun Pemerkasaan dan Wanita dan usaha melahirkan 30 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) wanita.

Pada masa sama, katanya, kerajaan PH perlu menunaikan janji mereka sebagai langkah awal menangani isu dan kebajikan wanita,.

“Jika saya lihat kerajaan Selangor, mungkin kerajaan PH boleh mengambil apa yang telah dilaksanakan di Selangor seperti elaun ibu tunggal setiap bulan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk dua ke lima peratus daripada gaji suami, selain kad kesihatan,” katanya – MalaysiaGazette