KUALA LUMPUR – Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei bukan lagi menjadi salah seorang daripada tiga pengarah syarikat yang memiliki restoran Raj’s Banana Leaf di Bangsar di sini.
Restoran tersebut terpalit dengan kontroversi apabila diarah tutup selepas tersebar video pekerjanya mencuci pinggan dengan menggunakan air lopak di tepi jalan.
Menurut kenyataan restoran itu di akaun Instagram, individu yang didakwa sebagai pemegang saham restoran berkenaan adalah “tidak benar dan salah”.
“Individu terbabit tiada kaitan dengan pemegang saham syarikat atau restoran kami,” katanya tanpa menyatakan siapakah individu itu.
Bagaimanapun, pihaknya mengakui Datuk Lee Chong Wei pernah menjadi pengarah syarikat berkenaan namun meletak jawatan sebelum kejadian itu dan beliau tidak terlibat dalam apa jua operasi perniagaan di restoran terbabit.
Kelmarin, Chong Wei menafikan beliau adalah pemilik bersama restoran berkenaan seperti dilaporkan sebuah akhbar.
Bagaimanapun, dalam pencarian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia nama Chong Wei tercatat sebagai salah seorang daripada tiga pengarah syarikat yang memiliki restoran tersebut iaitu InterCompass Sdn. Bhd.
Isnin lalu, tular di media sosial dan WhatsApp memaparkan pekerja di restoran berkenaan mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan.
Serentak itu, DBKL mengambil tindakan dengan mengarahkan premis tersebut ditutup serta-merta di bawah UUK 28(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 berkuat kuasa hari ini. – MalaysiaGazette