Reaksi spontan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika keluar selepas memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali kedua di Pejabat SPRM, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersedia untuk disiasat bersabit pendedahan Kementerian Kewangan mengenai dua projek saluran paip petroleum daripada jumlah keseluruhan bernilai RM9.4 bilion hari ini.

Bagaimanapun beliau menerusi akaun rasmi Facebooknya berkata, dakwaan yang dibuat yang perlu  bebas daripada motif politik.

“Saya mengalu-alukan penyiasatan secara telus dan terbuka terhadap kedua-dua projek ini, namun kita perlu lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu dakwaan bermotif politik terutama melibatkan syarikat milik sebuah negara asing yang mungkin akan mencetuskan kesan negatif terhadap hubungan dan perdagangan antarabangsa Malaysia,” katanya.

Jelas Najib, beliau yakin pelaksanaan kedua-dua projek itu mengikuti undang-undang.

“Berdasarkan kepada ingatan saya, saya yakin, semua prosedur dan proses perundangan telah dipatuni berkaitan dengan rundingan dan perlaksanaan dua projek saluran paip yang dibangkitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini,” tambahnya.

Jelas beliau lagi, bayaran kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak lain.

“Saya turut dapati Guan Eng telah menyebut kesemua bayaran yang dibuat kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) adalah mengikut perjanjian dan bukan kepada pihak-pihak lain.

“CPPB ialah anak syarikat kepada salah sebuah syarikat terbesar di dunia dan dimiliki kerajaan China – China National Petroleum Corporation,” ujarnya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mendedahkan satu lagi skandal membabitkan transaksi mencurigakan bernilai RM8.3 bilion yang dipercayai mempunyai hubungan dengan SRC International dan Jho Low.

Transaksi tersebut membabitkan pembayaran 88 peratus untuk kerja-kerja dua projek saluran paip petroleum daripada jumlah keseluruhan bernilai RM9.4 bilion sedangkan kerja yang telah disiapkan hanya 13 peratus sahaja.

Projek itu adalah Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) itu diberikan kepada anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) yang ditubuhkan pada 19 Mei 2016 untuk tujuan menjalankan kedua-dua projek berasingan itu.

Najib dalam pada itu berkata kedua-dua projek tersebut mempunyai jaminan memberikan manfaat kepada bekalan tenaga yang lebih jimat menerusi rundingan denga kerajaan China.-MalaysiaGazette