Salahudin
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub (tengah) bercakap pada sidang media berkenaan penggantungan perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Wisma Tani, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 06 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengambil keputusan untuk menggantung sementara perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi membolehkan siasatan dalaman dilakukan ke atas kes penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Bagaimanapun, Menterinya, Salahudin Ayub berkata, seramai 770 kakitangan dan pegawai agensi berkenaan akan bekerja seperti biasa.

Katanya, siasatan itu membabitkan kepimpinan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dan pengurusannya.

“Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) telah mengeluarkan Perintah Penggantungan Perlembagaan Nafas di bawah Seksyen 20(1) Akta 109 berkuatkuasa 1 Jun lalu.

“Ini kerana Nafas menghadapi masalah serius dalam tadbir urusnya terutama dari aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepimpinan AJP dan pengurusannya,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Tani di sini, hari ini.

Beliau berkata, tujuan penggantungan itu adalah utuk menambahbaik keberkesanan sistem penyampaian Nafas bagi memastikan agensi itu kembali kepada peranan asalnya iaitu memajukan kepentingan ekonomi, sosial dan kebajikan ahlinya.

Menurut Salahudin, dalam tempoh penggantungan itu, Pendaftar PP telah melantik pentadbir di bawah Seksyen 23 Akta 109 untuk menguruskan hal ehwal Nafas.

“Pada masa sama, semua kelemahan yang dikenalpasti akan ditambah baik dan sistem kerja yang mantap akan diwujudkan,” katanya.

Kata beliau, kementeriannya melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan menyusun satu rangka kerja ke arah mengembalikan tadbir urus korporat yang mantap dapat diwujudkan di semua PP iaitu di Nafas, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan anak syarikatnya.

“Ini termasuklah menyemak semula keberkesanan struktur pergerakan PP tiga peringkat dari aspek peranan, tanggungjawab dan komposisi AJP.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Kabinet hari ini turut mengarahkan semua kementerian melakukan pembersihan di kementerian masing-masing.

Ujarnya, kementeriannya menyahut saranan itu dengan memulakan ‘pembersihan’ pada Nafas.

Beliau berkata, Dr Mahathir juga bersetuju untuk menamatkan monopoli Bernas.

Salahudin yang tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu berkata, beliau akan memberitahu kemudian. – MalaysiaGazette