Shahar
Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti kali ini yang pastinya akan menyaksikan persaingan sengit.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Pahang membuat pengumuman tersebut hari ini selepas mendapat sokongan 14 Ketua Pemuda Bahagian dan menyatakan komitmennya untuk membuat perubahan dalam parti susulan keputusan buruk dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

“Saya selaku Ketua Pemuda mendapat mandat daripada 14 Pemuda Bahagian untuk tawarkan diri kepada UMNO,” kata beliau semasa sidang media di PWTC selepas berbuka puasa dengan pengamal media hari ini.

Selain itu, dua Ketua Pemuda Bahagian negeri juga akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Exco Pemuda iaitu Azril Rizal Yusof dan Muhamad Faiz Hashim pada pemilihan kali ini.

Shahar mengharapkan dengan pencalonan ini beliau dapat membawa perubahan bagi menjadikan parti tersebut lebih diterima anak muda.

“UMNO mesti bersifat terbuka kerana UMNO tak boleh fikir ahli semata-mata, kita perlu memastikan parti ini lebih diterima oleh segenap lapisan terutamanya anak muda,” katanya.

Antara nama lain yang turut bertanding jawatan yang sama adalah Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun; bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos.

Selain itu, Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam turut disebut-sebut mahu menawarkan diri bertanding merebut jawatan tersebut.

Mohd. Shahar berjaya meraih sebanyak 19,033 undi menewaskan calon Pas, Mohamad Azhar Mohd. (13,291 undi) dan calon PPBM yang menggunakan logo PKR, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir (11,776 undi) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada 31 Mei lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pemilihan kali ini dilaksanakan melalui konsep terbuka tanpa perlu melalui pihak lain. – MalaysiaGazette