KUALA LUMPUR – Hasil audit dalaman berkaitan pelaksana-pelaksana Program Permata Negara (PERMATA) akan diputuskan dan diumumkan selepas sambutan Aidilfitri, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Pelaksana program PERMATA seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) misalnya, turut adakan audit dalaman bagaimana agihan dan cara dana akan disalurkan. Kita masih akan laksanakan kajian semula bagaimana PERMATA boleh memberi manfaat kepada pendidikan awal kanak-kanak.”
“Lepas rayalah (keputusan audit dalaman pelaksana kepada kerajaan),” katanya, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada media, selepas membuat kunjungan rasmi pertamanya ke Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini.
Sebelum ini Wan Azizah dilaporkan berkata Program PERMATA akan diteruskan tetapi ia perlu dikaji dan diaudit terlebih dahulu.
Beliau berkata program itu merupakan program yang baik dalam membantu meningkatkan pembangunan dan juga kebajikan kanak-kanak.
Program PERMATA, yang mula dilaksanakan pada 2007, adalah cetusan idea isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor merangkumi Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan, Perkasa Remaja dan Permata Kurnia.
Ia memberi tumpuan terhadap usaha mendidik kanak-kanak pada peringkat awal bagi mengembangkan potensi dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani, sosial dan komunikasi.- BERNAMA