Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa hanya bercadang untuk mempertahankan jawatan Majlis Tertinggi pada pemilihan parti 30 Jun ini.

Beliau bagaimanapun, tidak bercadang bertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden mahupun Naib Presiden UMNO kerana ketiga-tiga jawatan itu terlalu berat untuk dipikulnya.

“Saya tidak mempunyai kekuatan sama ada untuk menjadi calon presiden, timbalan dan naib presiden.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi semangat supaya bertanding dalam UMNO dan saya sudah berbincang serta maklumkan bahawa saya tidak ada kemampuan fizikal, kewangan, stamina dan semangat untuk bertanding jawatan-jawatan tertinggi dalam parti.

“Saya sedang pertimbang kemungkinan akan bertanding bagi jawatan MT, tapi belum lagi mendaftar sebagai calon,” katanya di Kota Bharu malam tadi.

Mustapa antara yang disebut sebagai pemimpin UMNO yang berkelayakan untuk memulihkan parti itu bersama Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun, Tengku Razaleigh sehingga kini masih berdiam diri daripada memberi reaksi berhubung desakan ahli itu. – MalaysiaGazette