MEKAH – Polis Mekah masih menjalankan siasatan punca kematian seorang lelaki Perancis yang bertindak membunuh diri dengan terjun dari bumbung Masjidil Haram semalam.
Siasatan itu turut memperincikan bagaimana lelaki berkenaan boleh bertindak demikian kerana kawasan itu dipagar dengan besi, menurut laporan agensi berita SPA.
Kementerian Luar Perancis mengesahkan lelaki itu adalah warga negaranya tetapi tidak memberi butiran lanjut.
Kematian lelaki itu menjadi tular di laman sosial.
Dalam rakaman video itu, yang diambil dari masjid yang bertentangan itu, lelaki itu dilihat terjun dari bumbung Masjidil Haram ke tingkat bawah dan menyebabkannya mati serta-merta.
Tahun lalu, seorang lelaki Arab Saudi cuba membakar dirinya di hadapan Kaabah – tetapi dihalang. – MalaysiaGazette