Dr Mahathir Mohamad berucap pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia (Nikkei) ke-24 hari ini.?--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

TOKYO – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sanggup berkhidmat sebagai perdana menteri jika itu adalah kehendak rakyat atau selagi mereka mahukannya.

“Tetapi sudah tentu, saya tidak tahu berapa lama saya sendiri akan bertahan,” katanya, sambil menambah dalam tempoh dua tahun lagi usianya akan menginjak 95 tahun.

Bercakap pada Persidangan Nikkei di Tokyo, Dr Mahathir berkata, beliau adalah perdana menteri tertua di dunia.

“Ia akan menjadi rekod sekiranya saya mencapai 95 dan masih menjadi perdana menteri,” katanya.

Beliau memberitahu, berkhidmat kepada negara adalah menjadi keutamaannya.

“Kalau itulah yang rakyat mahu saya lakukan, saya akan melaksanakannya,” kata beliau.

Dr Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri untuk kali kedua pada bulan lalu selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum pada 9 Mei lalu.

Beliau adalah perdana menteri keempat dari tahun 1981 hingga 2003.

Dr Mahathir ke Jepun untuk lawatan kerja selama tiga hari. – MalaysiaGazette