Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berucap pada sidang media FIFA World Cup Russia 2018 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 12 JUN 2018.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berucap pada sidang media FIFA World Cup Russia 2018 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 12 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Pasukan bola sepak Brazil menjadi pilihan Gobind Singh Deo untuk menjuarai kejohanan Piala Dunia di Rusia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, Brazil selaku juara lima kali kejohanan yang diadakan empat tahun sekali itu berpeluang cerah untuk menjulang piala itu buat kali keenam.

“Pilihan saya hanya Brazil kerana itu pasukan kegemaran saya sejak usia kecil lagi. Brazil popular dengan corak permainan ‘Samba’.

“Malah kali ini saya dapat melihat Brazil menurunkan ramai pemain muda dan muka baharu yang pakar di setiap posisi khususnya di bahagian serangan dan sayap kiri.

“Saya harap Brazil boleh lakar kejutan di Rusia dengan menang trofi itu untuk kali keenam,” katanya selepas melancarkan siaran perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 hari ini.

Tambah Gobind, saingan untuk merebut piala itu semakin sukar memandangkan semua pasukan yang bertanding adalah bagus.

“Orang kata bola itu bulat, apa pun boleh berlaku jika terlampau yakin sangat dan kita boleh lihat pada edisi 2014 lalu banyak keputusan yang di luar jangkaan akan berlaku. – MalaysiaGazette