KUALA LUMPUR- Pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum menyertai Pakatan Harapan (PH) dan dilantik semula menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu tidak dapat dinafikan.
Penjualan (bidaan) nombor plat kenderaan PATRIOT dikendalikan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mencecah RM5 juta sebelum kebenaran itu ditarik oleh Kementerian Pengangkutan tidak mungkin dicapai tanpa pengaruh Dr Mahathir.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan tidak menafikan sebaik sahaja Dr Mahathir memenangi bidaan nombor plat PATRIOT 2020, orang ramai berpusu-pusu mendapatkan nombor istimewa daripada NGO itu.
“Sebelum ini bidaan melonjak sebab ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tapi pengaruh Tun M lagi besar, jadi laku cepat sikit (nombor plat PATRIOT).
“Hasil jualan nombor plat seingat saya antara RM5 hingga RM6 juta. Semua hasil jualan tidak masuk ke PPIM, tapi masuk ke Yayasan Patroit Negara,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.
Nadzim juga terpaksa akur kepada arahan terkini Menteri Pengangkutan baharu, Anthony Loke yang tidak membenarkan mana-mana NGO termasuk PPIM menyelaraskan bidaan nombor plat berkenaan.
“Maknanya selepas ini peluang kita tak ada lagi (jual nombor plat). Tapi tak apa sudah bagi satu peluang itu (sebelum ini).
“Lepas ini dia (Jabatan Pengangkutan Jalan-JPJ) takkan bagi kat orang dah (jual npmbor plat),” katanya.
Ditanya tentang penjualan nombor plat itu hanya menguntungkan PPIM semata-mata, Nadzim bagaimanapun menafikannya kerana segala hasil jualan disalurkan terus ke akaun Yayasan Patriot Negara.
Malah katanya lagi penjualan nombor plat PATRIOT tidak menimbulkan sebarang isu dari segi ketelusan hasil jualannya kerana Dr Mahathir sendiri membuat bidaan sama.
“Tun M pun pakai (Patroit) Tun M pakai 2020, tiada apa pun. Mungkin pasal itu juga tapi kita tak lah (kaut keuntungan) mungkin ada orang tertentu (kaut untung).
“Semua nombor yang dijual diisytihar kepada umum, boleh datang pejabat semua ikut lunas undang-undang.
“Malahan disebabkan mereka bising-bising itu nombor itu jadi terbantut tapi ini jalan balik sebab kita tengok Tun M sendiri pun pakai,” jelasnya.
Kata Nadzim lagi, hasil jualan PATRIOT yang disalurkan ke YPN dimanfaatkan untuk membiaya aktiviti kemasyarakatan PPIM dengan semua pihak termasuk pelajar universiti dan program kesedaran.
“Kita ini macam abang saja, semua masuk ke Yayasan, segala perbelanjaan contohnya kita buat aktiviti dengan UKM untuk mewujudkan modul patriotisme, kita antara terdahulu buat isu patriotisme
“Sebelum ini mana ada tabung harapan dan sebagainya, kita pergi ke sekolah-sekolah, kita pergi ke sungai bersihkan sungai bawa universiti bawa UM dan UKM, buat kursus, sukan dengan anak yatim,” katanya lagi. – MalaysiaGazette