Pengarah GRV Toy Store Sdn Bhd, Mustakim Manaf selepas mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 18 JUN 2018.
Pengarah GRV Toy Store Sdn Bhd, Mustakim Manaf selepas mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 18 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Inisiatif kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) dengan melaksanakan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak awal bulan ini dilihat memberi kesan positif ke atas sektor peruncitan sejak 1 Jun lepas.

Ini diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Retail Ventures (GRV) Sdn Bhd, Mustakim Manaf.

Pelaksanaan sebenarnya telah memberi impak besar terhadap terhadap pasaran dan aspek kepenggunaan yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan, katanya.

Menurut beliau, kesan cukai berkenaan bagaimanapun adalah berbeza mengikut jenis industri namun kesan positif itu buat masa ini dilihat ketara lebih baik berbanding sebelumnya.

“Pelaksanaan beberapa dasar tertentu oleh kerajaan telah memperlihatkan hasil positif dan perkembangan terbabit sedikit sebanyak memberi suntikan perangsang kepada sektor peruncitan tempatan.

“Pada masa yang sama, kita meramalkan senario lebih positif akan berlaku untuk tempoh enam bulan lagi kerana selepas kadar sifar GST diperkenalkan, ramai peniaga kembali beroperasi semula di kedai atau pusat beli belah.

“Ini juga berita baik kepada GRV dan sektor peruncitan negara ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di sini hari ini.

GRV adalah francais gedung permainan terkemuka dunia, Hamleys Toy Store di Malaysia dan Singapura.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustakim berkata, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) jika dilaksanakan pada kadar rendah akan membantu peniaga pada skala lebih besar.

“Saya setuju dengan pendapat Pengarah Urusan Mydin, Mohamed Holding Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin sebelum ini bahawa kadar SST yang rendah membuatkan lebih ramai peniaga patuh kepada arahan untuk melaksanakannya.

“SST pada kadar rendah membantu golongan perniagaan yang pada hakikatnya sebenarnya memberi manfaat besar kembali kepada pembeli dan pengguna,” ujarnya.

Sebelum ini, pada 5 Jun lepas, ketika mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Penasihat Kerajaan, Ameer Ali Mydin telah menyuaran hasrat tersebut.

“Ahli perniagaan dengan sikap sebagai ahli perniagaan. Mereka cenderung untuk tidak mahu kadar SST tinggi.

“Jika kita ada kadar SST yang rendah seperti tiga peratus, maka pematuhan juga jauh lebih baik,” kata Naib Presiden Organisasi Peruncit Bumiputera.

Namun beliau bersetuju kerajaan perlu mencari jalan terbaik untuk turut imbangi sumber pendapatan negara melalui SST jika ia ditetapkan pada kadar rendah.

Sebelum ini, Malaysia melaksanakan SST pada kadar 10 peratus sebelum ditukar kepada GST enam peratus. –MalaysiaGazette