Ketua Biro Integriti Armada Nasional, Dr Muhammad Faiz Na’aman menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi jika benar-benar terbukti ada anggota parti itu terlibat dalam skandal itu.
“PPBM memandang serius mana-mana ahli menggunakan jawatan politik untuk memohon tender perniagaan atas niat membuat kebajikan atas kepentingan peribadi. Laporan SPRM ini dijangka dapat melengkapkan siasatan terhadap kes mencari kebenaran berkaitan siapa yang terlibat dan dalang sebenarnya.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan telus, adil dan tegas. Andaikan benar ahli kami terlibat dalam skandal ini, tindakan displin akan diambil serta-merta,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan bangunan SPRM sebelum membuat laporan berhubung skandal itu.
Semalam, Ketua Armada PPBM Syed Saddiq Abdul Rahman turut meminta SPRM dan polis menyiasat skandal itu bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dapat dikenakan tindakan yang sewajarnya.
Ketua Armada PPBM Bukit Bintang, Mohd Noorhisyam Abdul Karim turut membuat laporan polis bagi mempertahankan namanya dalam isu berkenaan.
Baru-baru ini, sebuah portal mendakwa Ketua Armada PPBM Bukit Bintang itu menggunakan kuasa politik untuk mengutip jumlah sewa berlebihan daripada peniaga bazar Ramadan di Kuala Lumpur. Ekoran pendedahan itu pada 14 Jun lepas, satu laporan polis dibuat oleh Dr Muhammad Faiz yang juga anggota Majlis Tertinggi PPBM.
Mohd Noorhisyam didakwa mengutip wang sehingga RM5,000 daripada peniaga bazar di Masjid India setelah didakwa menyalahgunakan hubungan politiknya untuk mendapatkan 80 lot bazar dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Media melaporkan bahawa surat DBKL kepada Mohd Noorhisyam menunjukkan bahawa 80 lot telah diluluskan selama sembilan hari dengan bayaran RM6,238. — BERNAMA