Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima kunjungan Menteri Besar Selangor yang baharu, Amirudin Shari di pejabatnya di Perdana Putra, hari ini.?--fotoBERNAMA (2018)
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima kunjungan Menteri Besar Selangor yang baharu, Amirudin Shari di pejabatnya di Perdana Putra, hari ini.--fotoBERNAMA (2018)

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak dakwaan bahawa pelantikan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor tidak direstui pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Presiden PKR berkata nama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu adalah antara yang dicadangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“(Dakwaan) itu pandangan peribadi. Parti memang telah mengemukakan nama dan salah seorang adalah Menteri Besar (Amirudin).

“Beliau (Amirudin) telah pun mengangkat sumpah dan menjadi Menteri Besar, diteruskan dengan (pelantikan) exco kerajaan negeri Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Amirudin di pejabatnya, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad, bahawa dirinya adalah satu-satunya calon yang mendapat sokongan majoriti menerusi surat daripada empat parti komponen PH iaitu PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) serta dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Amirudin, 38, hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Mohamed Azmin, yang dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 21 Mei lepas.

Sementara itu, Amirudin yang ditemui media selepas pertemuan tersebut, enggan mengulas mengenai kenyataan Dr Idris.

“Saya serahkan kepada pimpinan pusat untuk memberikan maklum balas memandangkan proses ini adalah antara pimpinan parti dan Istana (Selangor),” katanya.

Amirudin berkata selepas ini, beliau akan memberi tumpuan kepada tugas untuk memenuhi harapan rakyat yang telah memberikan mandat yang sangat besar kepada PH.

Beliau turut mengumumkan pelantikan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail sebagai exco kerajaan negeri Selangor, sekali gus menjadi negeri pertama yang memiliki 30 peratus perwakilan wanita dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast