Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng bercakap pada sidang media mengenai Projek Pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 21 JUN 2018
Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng bercakap pada sidang media mengenai Projek Pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 21 JUN 2018

PUTRAJAYA – Projek Tun Razak Exchange (TRX) akan diteruskan meskipun sejumlah RM3 bilion dana daripada TRX City Sdn. Bhd. telah disalahgunakan oleh 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Malah menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Kabinet telah memutuskan untuk menyuntik dana tambahan sebanyak RM2.8 bilion ke dalam projek tersebut bagi memastikannya siap seperti yang telah dipersetujui di dalam perjanjian asal.

Dana tambahan itu akan disuntik secara berperingkat bagi tempoh sehingga 2024, katanya.

“Penyiapan projek TRX ini akan membolehkan keseluruhan nilainya sebanyak RM7.6 bilion dapat direalisasikan di samping mengelakkannya menjadi projek terbengkalai terbesar di tengah-tengah ibu kota.

“Ia juga akan memberi kelegaan kepada pelabur termasuk pelabur asing yang telah melabur berbilion ringgit ke dalam projek berkenaan,” katanya semasa sidang media di Kementerian Kewangan dekat sini hari ini.

Menurut Guan Eng, sebagai pemaju utama, TRX City diwajibkan untuk menyiapkan kerja-kerja infrastruktur bagi projek berkenaan dan kosnya bernilai sehingga RM2.8 bilion.

Sekiranya gagal, TRX City yang sebelum ini merupakan anak syarikat 1MDB bagaimanapun telah diambil alih oleh Kementerian Kewangan perlu membayar pampasan sebanyak RM3.51 bilion kepada pelabur.

Setakat ini, TRX City yang telah menyiapkan hampir 80 peratus kerja infrastruktur di pembangunan tersebut telah menjual beberapa bidang tanah kepada pelabur tempatan dan asing seperti Mulia Property Development, HSBC, Affin Bank, Tabung Haji, WCT dan IJM yang mana bangunan tersebut akan disewa oleh Prudential.

“Alternatif untuk mengeluarkan dana tambahan sebanyak RM2.8 bilion dibuat adalah untuk memastikan kerajaan tidak perlu membayar pampasan sebanyak RM3.51 bilion di samping kerugiaan yang perlu ditanggung selepas memindahkan dana berjumlah RM3.7 bilion untuk projek berkenaan sebelum ini,” jelas Guan Eng sambil menambah sejumlah RM3 bilion daripada dana tersebut telah disalahgunakan oleh 1MDB.

Dengan itu, beliau telah mengarahkan pihak pengurusan TRX City, Datuk Azmar Talib dan Pengarah Eksekutifnya, Tan Hwa Min untuk membuat laporan kepada panel penyiasat 1MDB dan pihak polis berhubung salahguna dana berkenaan.

Ketika ditanya mengenai kedudukan menara Exchange 106 yang dimiliki bersama oleh Kementerian Kewangan dan Kumpulan Mulia dari Indonesia, Guan Eng berkata, menara tersebut telah 90 peratus siap dan projeknya akan diteruskan mengikut perjanjian asal.

Bagaimanapun, menurut beliau, Kumpulan Mulia perlu membayar RM100 juta kepada Kementerian Kewangan yang memiliki 51 peratus kepentingan ke atas projek menara 106 tingkat itu pada tahun pertama dan RM200 juta pada tahun kedua sebelum menyerahkannya terus kepada kementerian pada tahun ketiga.

Sekiranya gagal, Kementerian Kewangan berhak memiliki keseluruhan bangunan tersebut, katanya lagi.

Menara ikonik yang bakal menjadi menara tertinggi di Malaysia mengatasi KLCC itu dijangka siap awal tahun hadapan. – MalaysiaGazette