WAHINGTON – Kim Jong-un komited untuk memusnahkan kemudahan utama di bahagian barat negara itu yang digunakan untuk ujian enjin bagi peluru berpandu jarak jauh.

Trump pada sidang media 12 Jun lalu memberitahu, Jong-un telah berjanji untuk memusnahkan salah satu lokasi pemasangan peluru berpandunya.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan mereka di Singapura.

Amerika Syarikat telah mengenal pasti kawasan itu sebagai tapak pelancaran satelit Sohae – lokasi ujian enjin penyokong cecair untuk peluru berpandu balistik jarak jauhnya.

Sebelum ini, Pyongyang mengatakan peluru berpandunya boleh sampai ke Amerika Syarikat.

“Jong-un berjanji Korea Utara akan memusnahkan tapak ujian enjin peluru berpandu tidak lama lagi,” kata pegawai itu.

Bagaimanapun, pemerhati skeptikal dengan komitmen Pyongyang memandangkan negara itu telah menolak perlucutan senjata nuklear.

Kumpulan pemantau Korea Utara, A North 38, dalam analisis pada akhir minggu lalu berkata, tidak ada tanda-tanda apa-apa aktiviti pemusnahan Sohae atau mana-mana tapak ujian peluru berpandu yang lain telah dilakukan.

“Amerika Syarikat akan terus mengawasi tapak ini dengan teliti seiring dengan rundingan yang telah dibuat,” kata pegawai itu. – MalaysiaGazette