Usha Nanthini.
Bekas Senator, Usha Nanthini.

KUALA LUMPUR – Persaraan mengejut Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dari dunia politik dilihat sebagai satu pengorbanan demi memastikan UMNO kekal relevan.

Lebih dari itu, langkah berani Shahrizat dianggap sebagai satu anjakan paradigma bagi memberi peluang untuk pemimpin pelapis meneruskan kesinambungan perjalanan parti.

Memiliki ketrampilan sebagai individu yang mahir dan ‘masak’ dengan ‘sepak terajang’ politik negara, keputusan dibuat Shahrizat itu mencerminkan kematangan beliau dalam melihat kedudukan UMNO.

Ia juga menggambarkan kerendahan hati wanita besi itu yang tidak khuatir jika suaranya tidak lagi didengari kerana tidak lagi memegang tampuk kuasa parti.

Ketua Wanita MIC Titiwangsa, Usha Nandhini Jayaram ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, jasa Shahrizat atau mesra di kalangan rakan-rakan dengan panggilan Kak Ijat amat besar dan tidak boleh dipertikaikan.

Bukan sekadar memimpin sayap kanan parti keramat UMNO, Shahrizat jelas beliau turut menggalas kepercayaan sebagai antara menteri wanita dalam Kabinet yang lantang bersuara.

“Siapa boleh menafikan betapa hebat Kak Ijat bersuara membela nasib wanita dan kanak-kanak negara ini. Tugas sebagai Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat yang dipikul amat sinonim dan menjadi sebutan ramai.

“Sumbangan beliau bukan hanya terhad dalam UMNO, tetapi mejadi idola seluruh pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN),” katanya.

Usha Nandhini yang juga bekas Ahli Dewan Negara berkata, persaraan Shahrizat akan dirindui dan pastinya sukar mencari ganti sehebat beliau.

“Jasa beliau juga sangat banyak, keprihatinan beliau terhadap pelbagai isu pelbagai lapisan wanita di negara akan terus dikenang dan saya mewakili Wanita MIC Titiwangsa khususnya, banyak terhutang budi.

“Bukan sedikit tunjuk ajar diberikan beliau terhadap kami dan ia akan kekal sebagai azimat yang membantu kami terus berjuang,” katanya.

alt MGF23062018_KAK JAT BERSARA04(1)
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (dua kiri) bersalaman dengan sebahagian perwakilan Wanita UMNO yang hadir pada pemilihan tiga sayap UMNO peringkat bahagian dan pusat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JUN 2018.

Terdahulu, Shahrizat di mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dhari ini mengumumkan persaraan beliau dari sebarang jawatan dalam parti dan arena politik secara keseluruhan.

Beliau sebaliknya memilih untuk menjadi ahli biasa UMNO dan mengikuti perjalanan politik negara dan parti dari belakang tabir.

“Keputusan saya ini kerana dalam politik, kamu perlu tahu masa dan ketika untuk berundur. Perlu ada garis masa agar orang tidak melihat kita sebagai bertuhankan pangkat dan harta,” katanya. – Malaysia Gazette