Rafi Awg Kechik
Rafi Awg Kechik

KUALA LUMPUR – Gerakan melumpuh dan ‘membunuh’ UMNO didakwa giat dilaksanakan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak membekukan akaun ibu pejabat parti itu.

Presiden Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia (Nadi Rakyat), Mohd Rafi Awang Kechik percaya tindakan itu diambil atas arahan kerajaan, tanpa melalui proses atau keputusan mahkamah.

“Apakah nasib dan masa depan lebih 300 kakitangan pentadbiran ibu pejabat UMNO yang ada sekarang?” soal beliau dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun facebooknya hari ini.

Semalam, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Pemangku Presiden UMNO dilaporkan berkata, SPRM telah membekukan akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor, sehari selepas beliau mengumumkan agihan dana kepada UMNO negeri dan bahagian akan disalurkan semula.

Beliau menjangkakan, selepas ini tidak mustahil SPRM juga akan membekukan akaun UMNO Johor.

Menurut Mohd Rafi, tindakan pembekuan akaun dan ugutan dibatalkan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bukan keputusan yang bijak, malah dianggap sebagai membalas dendam dan sekali gus memusnahkan serta memadamkan dari sejarah parti orang Melayu yang berjuang lebih 60 tahun lalu itu.

“Bukan itu sahaja, agensi kerajaan juga diarahkan mengosongkan pejabat masing-masing yang selama ini menyewa di bangunan ibu pejabat UMNO.

“Tidak cukup dengan tindakan politik berasaskan kebencian dan dendam terhadap UMNO ini,  sudah mula timbul caka-cakap ada calon yang bertanding jawatan tertinggi parti ditaja supaya proses memusnahkan UMNO dari dalam lagi mudah dilakukan sekiranya calon ini menang,” dakwanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan UMNO akan berdepan dengan situasi sulit lagi menyulitkan sekiranya pemimpin dan ahli parti tidak kental dalam berjuang. – MalaysiaGazette