KUALA LUMPUR – Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) tidak memaksa sekiranya Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak mahu berhenti awal sebelum kontraknya berakhir pada Ogos 2019.
Pengerusinya, Tun Daim Zainuddin berkata, keputusan untuk Nazir meletak jawatan terpulang sepenuhnya kepada individu tersebut.
“Terpulang kepada dialah, masing-masing ada kontrak. Kalau dia nak berhenti awal terpulang kepada dia,” katanya ringkas kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai laporan media tempatan mengenai status Pengerusi Kumpulan CIMB itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Aishah Ghani Srikandi Koperasi Jaya Murni Wanita Berhad (KJMWB) dan logo baharunya, di sini hari ini.
Sementara itu, Nazir dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau belum memutuskan sama ada akan melanjutkan tempoh kontraknya yang akan berakhir tahun depan namun akan mengundur diri sekiranya Lembaga Pengarah CIMB, pemegang saham serta Bank Negara mahu beliau meletak jawatan lebih awal.
Terdahulu pada majlis berkenaan, Pengerusi KJMWB, Armi Zainudin berkata, buku terbitan koperasi itu mengisahkan perjuangan tokoh wanita Tan Sri Aishah Ghani dalam mengendalikan KJMWB sejak penubuhannya pada 1974 sehingga menjadi sebuah daripada koperasi wanita Melayu yang berjaya dan paling lama di Malaysia.
Menurutnya, pengenalan logo baharu koperasi itu sejajar dengan usaha menarik anggota baharu yang akan menjadi tenaga pelapis di samping tampil lebih dinamik, segar dan menggambarkan kemantapan yang ingin dibentuk.
“KJMWB bertekad untuk memesatkan lagi aktiviti pembangunan sosio-ekonominya jadi kami perlu membuat persiapan memasuki fasa pertumbuhan yang lebih mencabar melalui suntikan modal, idea bernas dan tenaga pelapis yang komited,” jelasnya.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Suara Wanita (Yusnita), Tan Sri Zaleha Ismail; Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah; dan Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.
— BERNAMA
Saya menghabiskan masa 29 tahun di sini – Nazir Razak