Salah seorang mangsa bot pancung karam yang berjaya diselamatkan diberikan bantuan perubatan di Jeti Marina Pengerang, Johor.
Salah seorang mangsa bot pancung karam yang berjaya diselamatkan diberikan bantuan perubatan di Jeti Marina Pengerang, Johor.

PENGERANG – Sebuah bot pancung yang dipercayai membawa 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk memasuki negara ini karam di lokasi 6.5 batu nautika timur Tanjung Balau di sini awal pagi ini.

Daripada jumlah itu, seorang wanita ditemukan lemas, 25 PATI termasuk seorang wanita dijumpai selamat manakala 18 yang lain dikhuatiri hilang, semua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 4.45 pagi.

Menurutnya, maklumat diterima daripada pekerja pelantar yang melihat dua mangsa sedang berpaut pada tiang pelantar itu.

alt BOT PANCUNG KARAM
Timbalan Pengarah ( Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof (duduk tengah) pada sidang media berhubung kejadian bot pancung karam di Jeti Marina Pengerang, Johor.

“Susulan itu, operasi dan menyelamat mangsa digerakkan bersama beberapa agensi yang lain dengan kekuatan seramai 144 anggota dan pegawai,” katanya pada sidang media di Jeti Marina Pengerang di sini hari ini.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat yang turut melibatkan tujuh aset laut dan sebuah pesawat helikopter itu melibatkan kawasan pencarian seluas 150 batu persegi bermula dari perairan Tanjung Punggai hingga ke Tanjung Siang.

Beliau berkata, agensi lain yang terlibat antaranya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam dan Pasukan Perubatan Klinik Kesihatan Pengerang.

Sanifah memberitahu, pihaknya turut meminta bantuan dari Singapura dan Indonesia untuk mencari di perairan negara mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast