Mohamed Hanipa Maidin rebah ketika perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Dataran Bangunan Perdana Putra.
Mohamed Hanipa Maidin rebah ketika perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Dataran Bangunan Perdana Putra.

PUTRAJAYA – Kesihatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin semakin stabil dan bertambah baik, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, Hanipa kini sedang menjalani rawatan di hospital akibat insiden yang berlaku kepada pagi tadi.

“Mohamed Hanipa berada di hospital dan keadaannya okay (stabil),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai status perkembangan kesihatan Mohamed Hanipa.

Awal pagi tadi, Mohamed Hanipa rebah ketika perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang berlangsung, di Dataran Bangunan Perdana Putra.

Hadirin yang mengikuti perhimpunan itu terkejut apabila beliau tiba-tiba jatuh dari pentas ketika Dr Mahathir sedang berucap.

Dr Mahathir yang terkejut dengan kejadian itu berhenti berucap buat seketika, namun kembali meneruskan ucapannya.

Pada 2016, Mohamed Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang pernah menjalani pembedahan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Jabatan Neurologi Hospital Kuala Lumpur akibat serangan angin ahmar.

Beliau juga pernah pengsan secara tiba-tiba ketika sidang Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette