Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abd. Rahman bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 JULAI 2018.
Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abd. Rahman

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengimport dan Penjual Kereta Melayu (Pekema) membantah hasrat kerajaan untuk menghapuskan dasar permit import (AP) kerana ia mampu mengelakkan harga kenderaan baharu dinaikkan sesuka hati.

Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, AP juga adalah sebahagian daripada usaha untuk membangunkan industri permotoran import di negara ini.

Tambahan pula, penghapusan AP adalah bercanggah dengan Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak keistimewaan kepada kaum bumiputera.

“Kami memang tidak bersetuju. AP patut dikekalkan kepada pemilik yang betul-betul mahu berniaga.

“Kami perlu membuat pelaburan besar untuk membuka bilik pameran dan sebagainya,” katanya sambil menambah telah membuat pelaburan sebanyak RM20 juta setakat ini.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Majlis Penasihat Kerajaan di sini hari ini.

Menurut Zainuddin, kesuraman industri permotoran turut memberi kesan kepada mereka di mana setakat ini kuota untuk AP tahun 2017 masih belum habis digunakan.

Namun begitu, beliau yakin dengan penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pasaran automotif tempatan akan kembali pulih. – MalaysiaGazette