Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR – Momentum belian di Bursa Malaysia dijangka berlanjutan sehingga minggu depan dan seiring dengan ekuiti global berikutan kebimbangan mengenai pertikaian dagangan antara Amerika Syarikat dan China yang semakin reda.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata,  ,sentimen positif itu juga akan memulihkan selera pelabur terhadap risiko.

Di peringkat tempatan, beliau berkata, pengurangan aliran keluar dana asing dari negara ini akan memberi kesan dalam bentuk sokongan terhadap pasaran minggu depan.

“Sejak tiga bulan lepas, jumlah aliran keluar itu adalah agak ketara. Momentum itu bagaimanapun semakin perlahan susulan harga minyak mentah yang lebih kukuh dan mendorong kenaikan saham minyak dan gas serta lain yang berkaitan,” katanya kepada Bernama.

Malah, Nazri Khan berkata prospek aliran masuk pelaburan langsung asing pada separuh kedua tahun ini akan turut menyuntik sentimen positif di pasaran.

Menurutnya, permintaan juga akan turut dipacu oleh perkembangan seperti tindakan kerajaan baharu yang lebih telus dan efisyen selain kestabilan kewangan dan ekosistem perbankan susulan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Saya tidak melihat apa perlunya mereka (pelabur asing) memilih untuk tidak menyertai pasaran lagi,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, bursa tempatan itu mencatat aliran peningkatan seiring dengan prestasi bursa serantau yang dipengaruhi oleh perkembangan dan sentimen perang dagangan AS-China.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI menokok 58.07 mata kepada 1,721.93 berbanding 1,663.89 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas meningkat 347.22 mata kepada 12,146.21 manakala Indeks FBMT100 melonjak 352.79 mata kepada 11,948.03.

FBM 70 naik 248.92 mata kepada 14,783.6, Indeks FBM Emas Shariah meraih 275.46 mata kepada 12,238.76 manakala FBM Ace meningkat 117.16 mata kepada 5,351.34.

Bagi asas mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 91.16 mata kepada 7,512.54 manakala Indeks Perusahaan menambah 91.94 mata kepada 3,179.53.

Indeks Kewangan melonjak 693.48 mata kepada 17,034.38 apabila pelabur memberi reaksi positif terhadap keputusan BNM mengekalkan OPR pada 3.25 dalam mesyuarat pada Rabu lepas.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 12.04 bilion unit bernilai RM11.66 bilion daripada 10.05 bilion unit bernilai RM8.36 bilion, sebelumnya.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan meningkat kepada 7.25 bilion saham bernilai RM10.37 bilion daripada 5.99 bilion saham bernilai RM7.01 bilion.

Jumlah waran turut melonjak kepada 3.43 bilion unit bernilai RM1 bilion daripada 2.64 bilion unit bernilai RM817.89 juta dalam minggu sebelumnya.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangannya bagaimanapun susut sedikit kepada 1.35 bilion saham bernilai RM282.3 juta daripada 1.40 bilion saham bernilai RM290.52 juta. — BERNAMA