PAC Parlimen akan memulakan prosiding ini, pada minggu pertama Disember 2018 dengan memanggil bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang sebagai saksi pertama.
PAC Parlimen akan memulakan prosiding ini, pada minggu pertama Disember 2018 dengan memanggil bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang sebagai saksi pertama.

PUTRAJAYA –  Jawatankuasa Siasatan Khas isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan kerajaan akan memulakan siasatan terhadap beberapa kes dan pembelian aset yang mencurigakan dalam Kementerian Pertahanan.

Pengerusinya, Tan Sri Ambrin Buang berkata, siasatan itu dibuat atas permintaan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang mahu beberapa kes berprofil tinggi melibatkan kementerian itu disiasat segera.

“Jawatankuasa ini telah diberikan mandat oleh kerajaan untuk menyiasat kes-kes dan pembelian aset yang mencurigakan oleh kementerian dari segi penyelewengan, salah guna kuasa atau pembaziran kewangan negara.

“Ia juga mengesyorkan tabdir urus kewangan yang lebih baik dan langkah-langkah membasmi ketirisan wang negara,” katanya dalam sidang media hari ini.

Kata Ambrin, siasatan terhadap Kementerian Pertahanan bermula hari ini.

Pada 22 Mei lalu, Mohamad Sabu atau Mat Sabu berjanji akan menyiasat segala dakwaan mengenai skandal  dikaitkan dengan kementerian itu.

Ini termasuklah isu dua unit kapal selam Scorpene yang mencetuskan kontroversi serta pembaziran dan salah guna kuasa melibatkan pembelian aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Ambrin, segala dapatan daripada siasatan jawatankuasa itu akan diserahkan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.

Tambah bekas Ketua Audit Negara itu lagi, tugas dan bidang kuasa siasatan jawatankuasa ini tidak akan mengganggu urus tadbir Jabatan Audit Negara, malah jabatan itu akan turut membantu jawatankuasa ini dalam menjalankan siasatan mereka.

“Jabatan Audit Negara ada mandat sendiri untuk siasat. Mereka ada rancangan sendiri dan kementerian mana yang dia nak siasat.

“Kita tidak akan mengganggu tugas yang diberikan kepada Jabatan Audit Negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ambrin berkata, jawatankuasa itu akan memanggil sesiapa sahaja yang dikaitkan dengan siasatan tersebut samada menteri atau timbalan menteri bagi tujuan mengumpulkan maklumat.

Malah katanya, hasil siasatan terpulang kepada Jemaah Kabinet samada untuk diumumkan kepada rakyat atau tidak.

“Ini macam audit khas untuk tujuan tertentu. Bukan hasil audit biasa daripada Jabatan Audit Negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette