MOSCOW – Perancis meranapkan impian Croatia apabila menembusi berjaya empat gol pada perlawanan akhir Piala Dunia 2018 di Stadium Luzhniki, malam tadi.
Perlawanan yang ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak di seluruh dunia itu menyaksikan Croatia hanya berjaya menjaringkan dua gol sahaja.
Kemenangan itu membolehkan Perancis menjulang trofi kedua mereka pada temasya empat tahun sekali tersebut selepas kali terakhir memenanginya di gelanggang sendiri, 20 tahun lalu.
Dalam perlawanan yang berlangsung pukul 11 malam tadi waktu tempatan, Perancis mendahului 1-0 pada babak pertama hasil jaringan sendiri Mario Mandzukic sebelum Ivan Perisic menyamakan kedudukan buat Croatia yang mara buat kali pertama ke final.
Bagaimanapun, Antoine Griezmann kembali meletakkan Perancis di depan apabila menyudahkan sepakan penalti yang diberikan selepas pengadil melihat semula insiden di dalam kotak penalti menerusi video bantuan pengadil (VAR).
Jaringan pantas Paul Pogba dan Kylian Mbappe pada pertengahan babak kedua seakan sudah meletakkan kejuaraan bersama Perancis.
Namun, Mandzukic mengembalikan aksi yang mendebarkan dalam tempoh 20 minit terakhir apabila merapatkan kedudukan selepas meledak gol kedua hasil kesilapan yang dilakukan penjaga gol Perancis, Hugo Lloris.
Perancis bagaimanapun berjaya mengekang asakan bertali arus Croatia hingga tamat permainan. – MalaysiaGazette