Joe Hart diburu Chelsea menyebabkan penyokong kelab itu marah.

LONDON – Joe Hart adalah nama baharu dalam senarai utama Chelsea untuk menggantikan Thibaut Courtois.

Kelab itu difahamkan mahu mengambil risiko melabur 5 juta pound sterling ke atas bekas penjaga gol utama England itu.

Chelsea yang sebelum ini dikaitkan dengan penjaga gol AC Milan, Gigio Donnarumma kini dikhabarkan mahu mengikat khidmat Hart.

Tindakan Chelsea yang tidak dijangkakan itu sudah pasti akan mencetuskan kemarahan penyokong the Blues yang tidak berminat dengan usaha kelab mahu membeli penjaga gol Manchester City yang telah dikuarantinkan jurulatih sendiri musim lalu.

Hart dipinjamkan ke West Ham oleh Pep Guardiola dan bukan lagi pilihan utama bekas jurulatih Barcelona itu.

Courtois hampir pasti menyertai Real Madrid dan masih belum memeterai kontrak baharu bersama Chelsea walaupun kontraknya memasuki tahun akhir di Stamford Bridge.

Bagi Jurulatih baharu the Blues, Maurizio Sarri, Hart merupakan pilihan terbaik dengan harga murah walaupun dipecat dari skuad kebangsaan dan Guardiola.

Hart masih mempunyai kontrak berbaki 12 bulan bersama City dan kini bersama skuad itu untuk aksi pramusim EPL di Amerika Syarikat.

Kini Guardiola dalam keadaan terdesak untuk menjual Hart atau berisiko terlepas pemain itu secara percuma tanpa sebarang klausa pelepasan.- MalaysiaGazette