ROM – AS Roma bercadang untuk memfailkan saman terhadap Bordeaux kerana tidak berpuas hati dan tertipu dengan urusan pembelian Malcom yang berhijrah ke Barcelona pada saat akhir.
Roma telah mencapai persetujuan yuran untuk membeli pemain Bordeaux itu pada Isnin lalu.
Bagaimanapun pemain antarabangsa Brazil itu pula mengikat kontrak lima tahun bersama Barcelona bernilai 45 juta pound sterling.
Pemain berusia 21 tahun itu bersiap untuk terbang ke ibu kota Itali Isnin lalu sebelum membatalkan rancangannya.
Barcelona mengganggu proses itu pada minit akhir sebelum mengikat kontrak lima tahun dengan Malcom dan membuat pengumuman rasmi.
Pengarah sukan Roma, Monchi kecewa dengan pembelian Malcom yang tidak tercapai dan dirampas kelab la Liga Sepanyol itu.
Malah Monchi menuduh Bordeaux yang perlu bertanggungjawab atas perbuatan itu.
“Kami sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang.
“Ia mudah dijelaskan. tetapi sukar untuk memahami keadaan.
“Kami mencapai perjanjian dengan Malcom, agen dan kelab Bordeaux pada Isnin dan dia seharusnya tiba untuk ujian perubatan 11 pagi pada hari sama dan kami terlalu yakin ia selesai,” katanya.
Monchi menambah Presiden Bordeaux, Stéphane Martin dalam kenyataannya mengesahkan perjanjian pembelian Malcom dicapai.
Kemudian Martin mendakwa Barcelona menawarkan bidaan lumayan berbanding Roma dan kelab itu menyekat pemain tersebut daripada terbang ke Itali untuk melengkapkan perpindaan itu.
Monchi berkata, Roma menawarkan bidaan terbaik dan Bordeaux tidak mahu menaikkan tuntutannya terhadap Malcom sebelum bertindak sebaliknya dengan Barcelona.
“Kami sedang meneliti segala yang berlaku dari segi perundangan untuk mencadangkan tindakan undang-undang.
“Walaupun kami tidak mempunyai dokumen sah kontrak yang dicapai bersama pemain itu, segala mesej daripada agen Malcom dan presiden Bordeaux yang sudah memadai untuk kami memulakan tindakan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette